mutakhir

Buruh pekak, bisu didakwa cuba bunuh

Oleh Ahmad Johari Mohd Ali

BURUH mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini atas dakwaan cuba membunuh bapa bekas teman wanitanya dua minggu lalu.

Muhammad Amirul Bungsu , 21, yang pekak dan bisu mengaku tidak bersalah menikam Mohd Rodzi Jamaluddin, 64, dengan menggunakan dua pisau dengan niat menyebabkan kematian ke atas mangsa.

Tuduhan terhadap Muhammad Amirul Bungsu dibacakan dan dijelaskan menggunakan bahasa isyarat oleh jurubahasa isyarat di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di PPR Pinggiran Bukit Jalil, Cheras pada 8.30 malam, 14 Disember lalu mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman maksimum penjara 20 tahun.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Aris Kamaluddin memberitahu mahkamah, pihaknya tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh dengan alasan kesalahan itu serius dan tidak boleh dijamin.

Peguam bela Hannan Ishak mewakili tertuduh bagaimanapun memohon supaya anak guamnya dirujuk ke pakar psikiatri kerana disyaki mengalami masalah mental ketika kejadian.

Mahkamah kemudian tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 7 Februari depan bagi sebutan kes untuk mendapatkan laporan psikiatri.

Disiarkan pada: December 27, 2018 @ 5:31pm
d