mutakhir

Op Gading diteruskan -TPM

Oleh Mohd Anwar Patho Rohman

OPERASI Gading (Op Gading) di Cameron Highlands yang ditangguhkan sejak Mei hingga Oktober lalu, akan diteruskan, kata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Timbalan Perdana Menteri berkata, ia akan dilaksanakan menggunakan kaedah dan pelbagai strategi serta inklusif pada masa akan datang.

Katanya, fasa akan datang Op Gading akan mengutamakan aspek pengukuhan kebajikan dan kesejahteraan pekebun kecil, Orang Asli dan penjagaan alam sekitar.

Katanya, strategi itu penting kerana Cameron Highlands menjadi penyumbang utama kepada kemampanan sektor pertanian negara dan keselamatan makan negara.

“Oleh itu, kita perlu memastikan alam sekitar dipelihara dan kebajikan pekebun kecil serta Orang Asli dijaga.

“Keselamatan perkampungan Orang Asli di kawasan curam mesti diberi perhatian khusus disamping kesejahteraan masyarakat

itu yang menjadi sebahagian daripada komuniti penting di Cameron Highlands,” katanya dalam satu kenyataan, malam ini.

Dr Wan Azizah berkata, keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Bersama Pemulihan Cameron Highlands di Putrajaya yang dipengerusikannya dan turut dihadiri Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, hari ini.

Op Gading dilaksanakan bertujuan mengatasi masalah tanah yang diteroka secara berleluasa dan tarahan bukit di luar kawalan yang menjadi faktor utama kejadian tanah runtuh di Cameron Highlands.

Siri Op Gading dilaksanakan mulai tahun 2015 hingga 2018 tetapi Op Gading IV, yang bermula pada 1 Januari lalu ditangguhkan sementara, dari Mei hingga Oktober lalu.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam satu mesyuarat pada 5 Oktober lalu bersetuju Op Gading IV diteruskan.

Dr Wan Azizah berkata, kerajaan menyedari Op Gading menimbulkan rasa tidak selesa dalam kalangan pekebun kecil yang mengusahakan tanah secara turun-temurun sebagai punca pendapatan.

Justeru, beliau mahu semua agensi yang berkaitan meneruskan kerjasama strategik demi memastikan kelestarian persekitaran dan kehidupan komuniti di Cameron Highlands.

“Saya berhasrat melihat sendiri keadaan di Cameron Highlands dalam jangka masa terdekat. Mesyuarat seterusnya akan diadakan pada Julai depan bagi menilai semula laporan pelaksanaan Op Gading,” katanya.

Disiarkan pada: December 27, 2018 @ 10:35pm
d