mutakhir

Jeti Pulau Orang Utan terbakar

Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

JETI Pulau Orang Utan (POU) yang terletak di tengah Tasik Bukit Merah dekat Bagan Serai, terbakar malam tadi.

Kejadian kira-kira 7 malam itu dipercayai menyebabkan hampir separuh daripada jeti, hangus.

Bahagian dipercayai terbakar termasuk yang menempatkan kafe dan pusat jualan barangan produk pelancongan.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada bilik operasi dan makmal penyelidikan di situ, turut terbakar.

Sumber POU yang enggan dikenali berkata, pihaknya difahamkan tiada pekerja atau pengunjung dilaporkan cedera.

Katanya, punca kebakaran juga tidak dapat dipastikan.

“Kakitangan POU giat memadamkan kebakaran, sementara menanti bantuan daripada pasukan penyelamat,” katanya.

Dalam pada itu, jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Bagan Serai berkata, pihaknya menerima laporan jam 7.20 malam.

Beliau berkata, susulan itu, sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi untuk operasi pemadaman.

Sementara itu, wartawan NSTP tidak berjaya menghubungi Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan POU, Dr D Sabapathy untuk mendapatkan maklumat lanjut.

POU yang terletak di bawah pengurusan Yayasan POU menjadi antara tumpuan dunia dengan terdapat kira-kira 16 orang utan yang dipelihara secara semula jadi.

Disiarkan pada: December 28, 2018 @ 1:36am
d