mutakhir

Kreatifnya...

Oleh Mohd Rafi Mamat

BERMULA sebagai hobi dan aktiviti mengisi masa lapang, kini hasil kraftangan pasu dihias pelbagai corak diperbuat daripada tayar terpakai memberi pendapatan tambahan buat penjawat awam.

Md Amin Sarju, 54, dari Taman Indera Sempurna di Kuantan berkata, dia mempelajari teknik untuk menghasilkan kraftangan itu menerusi internet dan cuba menghasilkannya sendiri dan membuahkan hasil selepas tiga kali mencuba.

Katanya, dia mengambil masa satu minggu untuk menyiapkan sebiji pasu tayar yang melalui tiga peringkat pembuatan iaitu memotong, mencantum dan mengecat termasuk mencorak mengikut kehendak pelanggan.

“Selain tayar kereta saya turut menggunakan tayar motosikal untuk membuat pasu pokok bunga jenis gantung yang dijual antara RM15 hingga RM25 setiap satu, permintaan terhadapnya agak menggalakkan.

“Rakan saya, Mohd Nuri Salleh banyak membantu melakukan aktiviti mengecat menggunakan tujuh warna termasuk menghasilkan pelbagai jenis corak bagi menarik minat pelanggan.

“Bagi memastikan pasu tayar kereta tidak menjadi tempat pembiakan nyamuk, beberapa lubang bersaiz pensil dihasilkan untuk mengalirkan air bertakung,” katanya kepada NSTP di Kuantan, baru-baru ini.

Katanya, dia mendapat bekalan tayar daripada bengkel kenderaan sekitar Kuantan dan Pekan manakala pembeli utama pasu dihasilkannya itu adalah dari taman bimbingan kanak-kanak untuk menanam pelbagai jenis pokok bunga selain hiasan taman serta bahagian depan bangunan.

“Selain membekalkan pasu, saya juga memberi perkhidmatan menanam pokok bunga jika diperlukan, ada beberapa taman bimbingan kanak-kanak mendapat sentuhan hiasan saya bagi mengindahkan kawasan persekitarannya.

“Perkhidmatan yang saya dan Mohd Nuri sediakan ini lebih kepada ingin membantu mereka yang memerlukan, kepuasan pembeli memuaskan hati saya,” katanya yang berpengalaman lebih tiga tahun menghasilkan kraftangan daripada tayar terpakai.

Katanya, pasu tayar dihasilkannya itu juga boleh menjadi tempat menanam tanaman seperti cili, kangkung, kunyit, halia, tomato, kubis dan terung.

“Saya kini dalam usaha menghasilkan lebih banyak produk daripada tayar terpakai seperti kerusi dan beberapa barangan lain, selain memberikan pendapatan sampingan ia turut mengurangkan pembuangan tayar terpakai.

“Saya sedia bertukar kemahiran dan pengalaman dengan individu berminat menghasilkan kraftangan berasaskan tayar terpakai, masa terluang dapat diisi dengan aktiviti menghasilkan pendapatan,” katanya

Disiarkan pada: December 28, 2018 @ 9:38am
d