mutakhir

Naik taraf Hospital Kota Belud tahun depan

Oleh Recquael Raimi

KEMUDAHAN dan keperluan di Hospital Kota Belud akan dinaik taraf serta ditingkatkan pada tahun hadapan demi keselesaan pesakit yang menerima rawatan.

Ia akan dilaksanakan menerusi peruntukan khas Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Ewon Benedick.

Ewon berkata, antara kemudahan dan keperluan yang tingkatkan ialah pemasangan pendingin hawa di wad pesakit, alat pemanas air, televisyen dalam wad dan keperluan lain yang berkaitan.

“Bagi pihak komuniti Kota Belud, saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada Pengarah Hospital Kota Belud, Dr Primus John, doktor, jururawat serta kakitangan hospital atas perkhidmatan terbaik menjaga dan merawat rakyat Kota Belud.

“Walaupun saya sedang bercuti, tetapi saya hadir ke program ini kerana tahu di hospital ini ramai doktor dan jururawat yang mengorbankan cuti mereka semata-mata untuk berkhidmat kepada komuniti,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja ke Hospital Kota Belud di sini. Yang turut hadir, Pengerusi Lembaga Pelawat Hospital Kota Belud, Angela Teo.

Pada majlis itu, Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian menyerahkan 10 kerusi roda dan hamper kepada 70 pesakit yang disumbangkan oleh Ahli Lembaga Pelawat Hospital Kota Belud.

Sementara itu, Dr Primus berkata, pihak hospital menerima 11 aduan daripada orang ramai sejak tahun 2015 hingga tahun lalu, antaranya kualiti perkhidmatan di kaunter kurang memuaskan, kekurangan kemudahan awam dan tindakan kelewatan.

Mengenai jumlah pesakit talasemia yang menerima rawatan di hospital itu, beliau berkata, setakat ini seramai 43 orang iaitu 27 dewasa dan 16 kanak-kanak.

“Bagi memudahkan pesakit talasemia mendapatkan rawatan harian, pihak hospital telah mengubahsuai rumah taska lama kepada Pusat Informatik dan Rawatan Harian Talasemia,” katanya.

Disiarkan pada: December 28, 2018 @ 10:30am
d