mutakhir

Nak beli 'top up' konon

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

KEGIATAN dua sahabat yang menyamun kedai serbaneka 24 jam sekitar bandar ini akhirnya memakan diri selepas mereka ditahan polis, kelmarin.

Lelaki berusia 17 dan 22 tahun itu ditahan oleh sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Sibu pada 5 petang di rumah di Jalan Bukit Lima Timur, Sibu.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian samun sebuah kedai serbaneka 24 jam di Jalan Aman jam 6 pagi, Selasa lalu.

Beliau berkata, suspek masuk ke dalam kedai berkenaan sebelum berpura-pura mahu membeli kad isian prabayar telefon bimbit namun tiba-tiba mengacukan parang kepada pekerja premis itu.

Menurutnya, suspek kemudian memaksa pekerja kedai untuk menyerahkan wang tunai yang dianggarkan bernilai RM1,000 sebelum mereka melarikan diri.

Katanya, berdasarkan maklumat yang diterima, satu pasukan khas ditubuhkan bagi mengesan suspek berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) premis sebelum mereka berjaya ditahan.

"Dalam serbuan di rumah berkenaan, polis menemui parang, topi keledar, baju dan telefon bimbit yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian itu.

"Kedua-dua suspek dibawa ke Balai Polis Pusat Sibu untuk siasatan lanjut selain polis juga masih mengenal pasti pembabitan mereka dalam kejadian sama sebelum ini," katanya.

Disiarkan pada: December 28, 2018 @ 2:50pm
d