mutakhir

Inkues perlu bagi lengkapkan siasatan kematian Adib [METROTV]

Oleh Siti A'isyah Sukaimi

INKUES yang dijalankan bagi menentukan sebab kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim adalah perlu dalam melengkapkan siasatan secara menyeluruh.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin berkata, justeru pihaknya menyokong serta menyambut keputusan bagi mengadakan inkues berkenaan.

"Itu keputusan dibuat oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) selepas mengambil kira siasatan awal dan mereka memikirkan sewajarnya dan sebaiknya diadakan inkues.

"Jadi kita terserah kepada inkues yang dijalankan dan apa jua keputusan, majistret akan membuat keputusan," katanya pada sidang media Majlis Penghargaan Wira Riben Merah di Jabatan Bomba dan Penyelamat di Putrajaya, hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, keputusan bedah siasat sudah dibentang kepada KDN dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), jadi keputusan mengadakan inkues dibuat daripada hasil penemuan itu.

"Dalam inkues ini, beberapa pakar perubatan yang merawat Allahyarham akan dipanggil, selain memberi peluang beberapa kepada saksi baharu memberikan keterangan," katanya.

Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, Peguam Negara akan mengarahkan majistret untuk membuat inkues bagi menentukan sebab kematian anggota bomba, Muhammad Adib.

Perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Peguam Negara, Tommy Thomas hasil perbincangan yang diadakan selepas penemuan dapatan tertentu polis menerusi rakaman percakapan saksi, lakonan semula dan hasil bedah siasat pihak forensik patalogi yang hanya boleh didedahkan di mahkamah kelak.

Semalam, Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) berpandangan inkues bagi menentukan sebab kematian anggota bomba Muhammad Adib tidak perlu diadakan kerana hanya akan melengah-lengahkan keadilan kepada keluarga mangsa.

Dalam pada itu, Zuraida berkata, setiap pegawai bomba diberi latihan bertepatan dengan tugas malah, modul latihan yang diikuti turut dikemas kini mengikut piawaian antarabangsa.

Katanya, dari masa ke masa sekiranya ada keperluan, pihaknya turut memperbaiki modul latihan yang dijalankan.

Terdahulu, beliau meminta rakyat Malaysia supaya menghormati anggota beruniform menjalankan tugas sekaligus tidak mengambil tindakan melulu jika tidak berpuas hati.

Pada majlis berkenaan, Zuraida menyampaikan sumbangan kepada keluarga Muhammad Adib yang keseluruhannya berjumlah RM288,755.

Turut menyampaikan sumbangan ialah Pengerusi Yayasan Eco World Tan Sri Lee Lam Thye yang berjumlah sebanyak RM10,000.

Selain itu, Zuraida turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM362,28 kepada waris enam anggota bomba yang terkorban semasa menjalankan tugas menyelamat di Lombong Taman Putra Perdana Puchong pada 3 Oktober lalu.

Berita berkaitan:

  • Pengurusan kes Inkues Adib 18 Januari ini
  • Lagi berita berkaitan Allahyarham Muhammad Adib
  • Lagi berita berkaitan Inkues Adib
  • Disiarkan pada: December 28, 2018 @ 3:22pm
    d