mutakhir

Ditemui lemas selepas dua hari

Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

LELAKI yang dilaporkan hilang selepas dihanyutkan arus kepala air ketika mandi bersama keluarga di Burmese Pool atau Batu Hampar, Taiping, Rabu lalu, ditemui lemas hari ini.

Mayat M Jastin, 24, ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada 10.35 pagi kira-kira 200 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Taiping, Rafeel Hairul Richard berkata, operasi SAR memasuki hari ketiga yang turut membabitkan unit anjing pengesan K9 itu berjaya menemui mangsa.

“Operasi mencari dan menyelamat mangsa hari ini di pecahkan kepada tiga kumpulan.

“Pada 10.35 pagi tadi, pasukan kedua berjaya menemukan mayat mangsa kira-kira 200 meter dari lokasi dilaporkan hilang,” katanya ketika dihubungi di Taiping, hari ini.

Rafeel Hairul berkata, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk dibawa ke Hospital Taiping untuk dibedah siasat dan operasi ditamatkan pada 12.30 tengah hari.

Dalam kejadian Rabu lalu, mangsa yang berasal dari Simpang, dilaporkan hilang dibawa arus kepala air ketika mandi bersama keluarganya di air terjun berkenaan.

Pihak berkuasa dimaklumkan mengenai kejadian 4.30 petang dan SAR segera dijalankan bagi mengesan mangsa.

Disiarkan pada: December 28, 2018 @ 7:01pm
d