mutakhir

Siasat aduan kenaikan harga - Muhyiddin

Oleh Rohaniza Idris; Mohd Husni Mohd Noor dan Hashini Kavishtri Kannan

KEMENTERIAN Kewangan perlu melakukan siasatan terperinci terhadap setiap aduan kenaikan harga barangan yang dibangkitkan pengguna.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kenaikan harga barangan itu berpunca daripada tindakan segelintir pihak yang tidak mematuhi undang-undang yang sudah ditetapkan.

"Mungkin ada kes di mana syarikat dan restoran yang tidak mematuhi undang-undang.

"Bagaimanapun, Kementerian Kewangan perlu menyiasat secara terperinci perkara itu, malah aspek penguatkuasaan juga perlu dipertingkatkan untuk mengenalpasti pihak yang menaikkan harga barangan sesuka hati," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di Putrajaya, hari ini.

Muhyiddin berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenaikan harga ayam KFC di pasaran yang dikatakan naik akibat pengenalan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Kerajaan Pakatan Harapan memansuhkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sebelum memperkenalkan SST pada 1 September lalu.

Sebelum ini, kecoh di laman-laman sosial Facebook mengenai kenaikan mendadak harga ayam KFC yang disifatkan pengguna terlalu tinggi.

Dikatakan harga set ayam Snack Plate yang sebelum ini berharga RM12.30 naik kepada RM15.30 manakala Dinner Plate dari RM15.60 kepada RM19.60.

KFC dalam kenyataan berkata, pelarasan kecil pada harga produk mereka itu dibuat bagi memastikan syarikat berkenaan dapat terus menyediakan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.

Menurutnya, bermula Disember 2018, harga makanan yang disenaraikan adalah termasuk 6 peratus cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

Disiarkan pada: December 28, 2018 @ 8:49pm
d