mutakhir

BERSATU perjuangkan Agenda Bumiputera [METROTV]

Oleh Rohaniza Idris

PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) akan memperjuangkan Agenda Bumiputera baharu untuk diangkat menjadi satu Agenda Nasional.

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin berkata, beliau akan mencadangkan perkara itu kepada Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) supaya dijadikan Dasar Teras kerajaan.

Katanya, usaha itu bagi membolehkan Agenda Bumiputera benar-benar dapat memajukan orang Melayu dan Bumiputera di negara ini .

“Agenda Bumiputera yang baharu itu akan berasaskan konsep perkongsian kemakmuran bersama yang saksama.

“Menerusi kerangka baharu ini, semua rakyat akan dapat menikmati kemakmuran negara secara bersama yang mana tidak ada mana-mana kumpulan rakyat yang ketinggalan.

“Kejayaan ekonomi tidak lagi akan diukur berasaskan kadar pertumbuhan ekonomi semata-mata, tetapi yang lebih penting ialah peningkatan kuasa beli rakyat secara menyeluruh dan penghapusan jurang pendapatan antara kaum, kelas dan wilayah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Srikandi dan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) BERSATU di Putrajaya, malam tadi.

Perhimpunan itu adalah antara acara pembuka tirai Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) BERSATU yang bermula semalam.

Muhyiddin berkata, tumpuan dasar baharu ini adalah untuk mewujudkan kesamaan hasil dan bukannya menyediakan kesamaan peluang semata-mata.

Katanya, kesamaan peluang yang tidak membuahkan kesamaan hasil bukanlah satu dasar yang adil.

"Sebagai contoh, jika saudara mempunyai wang sebanyak RM10 dan rakan saudara mempunyai RM100 dan kedua-duanya diberikan peluang yang sama rata untuk menggandakan wang dengan masing-masing memperolehi 10 peratus keuntungan.

“Hasilnya, saudara akan memperolehi keuntungan sebanyak RM1 dan rakan saudara RM10. Begitu juga jika kedua-duanya memperolehi keuntungan sebanyak 100 peratus. Pendapatan saudara akan meningkat kepada RM20 dan rakan saudara RM200. Ini kerana saudara bermula dengan pendapatan yang rendah, " katanya.

Muhyiddin berkata, menerusi Agenda Bumiputera yang baharu itu, orang Melayu yang ketinggalan dari segi pencapaian ekonomi dapat dibantu .

“Ini termasuk usaha yang dilakukan secara berterusan dan bersungguh-sungguh untuk meningkatkan pencapaian ekonomi mereka dari segi peningkatan pendapatan isi rumah, kemajuan dalam bidang kerjaya dan keusahawanan serta kenaikan dalam kadar gaji, nilai simpanan dan pemilikan aset,” katanya.

Beliau menegaskan lima indikator keberhasilan untuk dasar itu iaitu peningkatan kuasa beli rakyat secara menyeluruh dengan kadar inflasi dan kos sara hidup yang terkawal; pengurangan jurang pendapatan dan kekayaan antara kaum, kelas dan wilayah dan peningkatan jumlah pekerja Bumiputera dalam bidang berpendapatan tinggi dan teknologi baharu.

Katanya, indikator lain memastikan penyertaan lebih menyeluruh dan sumbangan lebih besar Perusahaan Kecil dan Sederhana Bumiputera kepada Pendapatan Negara Kasar (GNI); dan

pengurangan jumlah pekerja asing, pengangguran dan guna tenaga

tidak penuh (underemployment);

"Asasnya ialah kita mahu menjadikan pencapaian ekonomi Bumiputera setanding dengan pencapaian ekonomi kaum-kaum lain.

“Justeru, Agenda Bumiputera tidak seharusnya tertumpu kepada usaha menangani kemiskinan relatif Bumiputera semata-mata, tetapi lebih daripada itu dapat membangunkan kumpulan profesional dan kelas menengah Bumiputera, serta melahirkan kumpulan korporat dan peniaga Bumiputera yang tulen, kompetitif dan mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

“Ini bakal mewujudkan satu generasi kelas

perniagaan dan perindustrian Bumiputera yang mampu menjana kekayaan baharu, mewujudkan nilai tambah dan mencipta lebih banyak peluang pekerjaan berpendapatan tinggi di negara ini," katanya.

Disiarkan pada: December 29, 2018 @ 12:22am
d