mutakhir

Buntu cari duit

Oleh Siti Rohana Idris

KOTA BHARU: Jika ibu bapa lain sibuk membeli persiapan sesi persekolahan anak yang bakal tiba minggu depan, pasangan dari Kampung Tok Mekong dekat Sering buntu memikirkan cara untuk mencari duit bagi membeli kelengkapan sekolah enam anak mereka.

Pasangan Mohd Azmi Husin, 38, dan isterinya, Rosmazini Malik, 37, tidak dapat membeli kelengkapan sekolah anak mereka kerana kemiskinan.

Rosmazini berkata, dia dan suami tidak mampu menyediakan kelengkapan sekolah semua anaknya kerana hidup mereka ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Katanya, suaminya hanya mengambil upah memotong rumput dan dia pula bekerja sebagai pembantu di gerai makan milik kakaknya.

“Dalam seminggu hanya dua hingga tiga kali saja suami menerima upah memotong rumput dan bayaran diterima kira-kira RM20 manakala pendapatan saya pula tidak sampai RM600 sebulan,” katanya, di sini.

Keperitan hidup Rosmazini mendapat perhatian daripada dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Persatuan Permotoran Negeri Kelantan (PPNK) dan Kelab Kebajikan Asnaf Kelantan yang tampil membantu membeli pakaian sekolah di Pasar Raya Ten Ten di Kubang Kerian, di sini.

Timbalan Presiden PPNK Wan Azley Wan Mohamed berkata, dia berharap sumbangan itu dapat meringankan beban keluarga berkenaan.

“Kolaborasi dua NGO ini kerap diadakan bagi membantu asnaf dan mereka yang memerlukan.

“PPNK menerusi unit amal bersama Kelab Kebajikan Asnaf Kelantan memberi bantuan pakaian seragam serta kasut sekolah kepada empat anak Rosmazini.

“Kami berharap ada lagi pihak yang tampil membantu keluarga Rosmazini bagi membeli kelengkapan sekolah yang lain memandangkan sesi persekolahan akan dibuka pada minggu depan,” katanya.

Disiarkan pada: December 29, 2018 @ 10:25am
d