mutakhir

Lumpuh patah riuk

Norizuan Shamsuddin

KUALA LUMPUR: “Sebelum lumpuh separuh badan, suami memang gigih melakukan pelbagai kerja sambilan untuk tambah pendapatan, ini termasuk mengambil upah memetik buah kelapa.

“Malangnya, dia terjatuh dari pokok kelapa setinggi 10 meter menyebabkan tulang belakangnya patah 12 bahagian, rusuk kiri pula patah lima dan rusuk kanan patah tujuh,” kata Nor Azrina Dolah, 28, isteri kepada pemetik buah kelapa sambilan Mohamed Faizuam Mohamed Daud, 35.

Wanita ini berkata, insiden itu berlaku ketika Mohamed Faizuam mengambil upah memetik buah kelapa berhampiran rumah mereka di Taman Nilam, Sungai Petani, Kedah, pada 3 November lalu.

Katanya akibat kejadian itu, Mohamed Faizuam yang lumpuh dari paras pinggang ke bawah kini terlantar dan tidak boleh melakukan sebarang pekerjaan, sekali gus menyebabkan mereka sekeluarga hilang punca pendapatan.

Menurut Nor Azrina, Mohamed Faizuam bekerja di sebuah kilang di Sungai Petani, namun pendapatan bulanan yang tidak seberapa menyebabkan suaminya mengambil upah sebagai pemetik buah kelapa.

“Sekarang saya juga tidak boleh keluar bekerja kerana perlu jaga suami dan dua anak kami berusia lapan bulan dan lima tahun.

“Saya juga terpaksa bawa suami ke hospital kerana dia perlu menjalani rawatan susulan dan sesi fisioterapi,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Nur Azrina berkata, musibah menimpa suaminya itu menyebabkan mereka menghadapi masalah kewangan dan tidak mampu menampung keperluan perbelanjaan harian keluarga.

Dia bertambah buntu apabila kediaman disewa perlu dikosongkan hujung bulan ini selepas perkara itu dimaklumkan oleh pemilik rumah berkenaan.

“Masalah kewangan menyebabkan kami tidak berkemampuan untuk pindah ke rumah sewa lain. Saya sudah hantar permohonan untuk mendapatkan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pihak zakat tetapi masih belum menerima sebarang keputusan,” katanya.

Orang ramai ingin membantu meringankan beban keluarga Mohamed Faizuam boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (0211941000038427) milik Nor Azrina Dolah.

Disiarkan pada: December 29, 2018 @ 10:35am
d