mutakhir

Tutup mengejut

Oleh Faliq Lajim

SHAH ALAM: Pemilik sebuah stesen minyak di Petaling Jaya berhadapan dengan tindakan selepas didapati menutup premisnya tanpa memaklumkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Selangor Azman Adam berkata, tindakan itu akan diambil hasil pemantauan terhadap 73 stesen minyak yang dibuat sejak tiga hari lalu oleh penguat kuasa di tujuh cawangan KPDNHEP negeri ini.

“Hari ini (semalam), kita ambil satu kes selepas mengesan sebuah stesen minyak di Petaling Jaya tutup secara tiba-tiba pada waktu tengah hari tanpa sebarang kelulusan dan notifikasi yang diberikan kepada kementerian.

“Kita akan buka kertas siasatan terhadap pemilik stesen minyak berkenaan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1974.

“KPDNHEP Selangor akan terus menjalankan pemeriksaan seperti ini dan memantau 611 stesen minyak yang beroperasi di negeri ini sehingga 6 Januari tahun hadapan bagi memastikan mereka mematuhi peraturan yang ditetapkan,” katanya kepada media selepas membuat pemeriksaan di beberapa stesen minyak di sekitar Shah Alam.

Sebelum ini, Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Bumiputera Malaysia (BUMIPEDA) Datuk Abu Samah Bachik berkata, pengguna dikhuatiri berdepan masalah mendapatkan petrol dan diesel apabila semua tangki penyimpanan di stesen minyak dijangka kering menjelang 1 Januari ini.

Beliau dilaporkan berkata, ia berpunca daripada keengganan pengusaha stesen minyak menambah simpanan dalam tangki menjelang penghujung bulan ini.

Ia susulan kenyataan Menteri Kewangan Lim Guan Eng yang dilaporkan berkata, kerajaan akan menyelaraskan harga runcit produk petroleum termasuk RON95 kepada harga lebih rendah mulai 1 Januari.

Sementara itu, Azman berkata, pada pemeriksaan dijalankan pihaknya turut mengedarkan arahan bertulis kepada pemilik stesen minyak.

“Ini bagi memastikan mereka selaku peniaga berlesen, perlu bertanggungjawab dalam memastikan bekalan petrol dan diesel sentiasa mencukupi untuk jualan harian di premis mereka.

“Kita turut menggesa mereka merangka strategi perniagaan yang jelas dan strategik terutamanya menjelang cuti sekolah yang akan berakhir tidak lama lagi.

“Kami juga memberi arahan untuk pihak stesen minyak tidak menutup premis mereka pada masa ini atas apa apa alasan sekalipun melainkan alasan yang tidak dapat dielakkan,” katanya.

Pengusaha yang gagal mengikut arahan ditetapkan akan dikenakan tindakan mengikut Seksyen 22 Akta Kawalan Bekalan 1974.

Disiarkan pada: December 29, 2018 @ 10:54am
d