mutakhir

Masih kes bunuh

Oleh Safeek Affendy Razali

SIASATAN kes kematian anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Muhammad Adib Mohd Kassim, masih disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan bunuh.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pada masa ini pihaknya masih berusaha melengkapkan kertas siasatan dalam usaha mengesan suspek terbabit dalam pembunuhan Adib.

Beliau bagaimanapun meminta mana-mana pihak untuk tidak terpengaruh dengan sebarang maklumat tidak benar yang kononnya ada laporan bedah siasat awal menunjukkan bahawa kematian Adib adalah akibat dihimpit objek besar.

"Terdapat pelbagai spekulasi berhubung kematian Muhammad Adib namun siasatan polis masih kekal kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan bunuh.

"Pada masa ini siasatan masih berterusan dan kertas siasatan sudah diserahkan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut," katanya selepas menghadiri perkahwinan 20 pasangan pegawai Polis Diraja Malaysia, di Pulapol, hari ini.

Mohamad Fuzi berkata, pasukan siasatan sedang bertungkus-lumus memastikan siasatan ini dapat dilengkapkan dengan segera dan mereka yang bertanggungjawab dan juga cuba membawa mereka ke muka pengadilan secepat mungkin.

"Apa yang ingin saya tegaskan bahawa kita masih belum menerima secara hitam putih laporan bedah siasat sebelum sebarang keputusan dimaklumkan.

"Jadi macam-macam spekulasi tidak benar timbul dan saya minta orang ramai bersabar dan kita (polis) masih meneruskan siasatan kes ini," katanya.

Katanya, semua 108 individu yang sebelum ini ditahan atas kesalahan merusuh di Kuil Sri Maha Mariamman, Seafield, pada 26 November lalu, turut menjurus kepada siasatan kes pembunuhan Adib.

Disiarkan pada: December 29, 2018 @ 4:41pm
d