mutakhir

500,000 pemuda cari kerja tahun depan

Oleh Mohd Sabran Md Sani

MULAI tahun depan, dijangka 500,000 anak muda akan bersaing di pasaran pekerjaan sedangkan peluang sedia ada dilihat semakin mengecil angkanya.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keusahawanan, Koperasi dan Ekonomi Kreatif negeri, Sheikh Umar Bagharib Ali berkata, trend berkenaan bermula sejak 2017 dengan menyaksikan 35,000 rakyat di negara ini hilang pekerjaan.

“Tahun ini, 21,000 rakyat kehilangan pekerjaan dan antara faktor berlakunya hilang pekerjaan akibat penggunaan teknologi dan mesin hingga mengakibatkan penggunaan tenaga pekerjaan mengecil,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika dijemput panel khas Program Forum Red Lips anjuran Persatuan Pemerkasaan Wanita Intelektual Johor (JEiWA), bertemakan ‘Bicara Kraf dan Ekonomi’ sempena Festival Kraf Johor (FKJ) 2018 di Johor Bahru, hari ini.

Festival 11 hari bermula 20 Disember lalu menghimpunkan 300 usahawan kraf tangan di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak termasuk batik dan tenunan.

Forum Red Lips antara siri jelajah dianjurkan JEiWA bagi berkongsi isu terkini membabitkan golongan wanita dengan dikupas panel jemputan berpengalaman.

Program itu dikendalikan Pengerusi JEiWA, Nor Fadilah Mohamad Nizar yang juga moderator bagi acara berlangsung selama dua jam bermula jam 3 petang.

Turut dijemput sebagai panel, Pengarah Kompleks Kraf Johor, Nor Azmi Ismail.

Sheikh Umar berkata, mengambil kira fakta ramai hilang pekerjaan, selain persaingan sengit sektor pekerjaan tahun depan, maka keusahawanan antara bidang perlu diterokai.

“Akhirnya, golongan muda tidak mempunyai pilihan, selain bidang keusahawanan ini harus menjadi pilihan pekerjaan mereka kelak.

“Komitmen berkenaan juga disokong menerusi pembentangan Bajet 2019 oleh kerajaan pusat menuju negara berasaskan keusahawanan dengan mewujudkan 100,000 peluang pekerjaan dalam bidang keusahawan,” katanya.

Sementara itu katanya, kerajaan negeri masih menyediakan insentif dan geran dalam membantu bidang keusahawanan terutama membabitkan industri kecil dan sederhana (IKS).

Perbadanan Usahawan Johor (EDC) menerusi Majlis Pembangunan Usahawan Negeri Johor bekerjasama dengan 50 agensi dalam merencanakan peruntukan dan geran disediakan.

Disiarkan pada: December 29, 2018 @ 6:51pm
d