mutakhir

Dua pekerja maut bersihkan tangki

Oleh Mohd Sabran Md Sani

DUA pekerja warga Nepal maut ketika melakukan kerja pembersihan tangki berudara bagi pemasangan loji rawatan sisa air buangan di sebuah kilang pembuatan plastik di Jalan Parit Yaani, Yong Peng, kelmarin.

Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Johor, Dasuki Mohd Heak berkata, kedua-dua mangsa berusia 21 dan 23 tahun itu disahkan meninggal dunia ketika di bawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat selepas mengalami sesak nafas dan pengsan di dalam tangki itu.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa yang baru sebulan bekerja di syarikat itu memasuki tangki berkenaan.

"Bagaimanapun pada 9.30 pagi, mangsa pertama berusia 21 tahun keluar dari tangki itu disebabkan mengalami kesesakkan nafas.

"Mangsa kedua berusia 23 tahun kemudian menawarkan diri untuk memasuki ruang terkurung iaitu tangki berukuran tiga meter tinggi dan 2.3 meter lebar dengan melalui lubang masuk 0.6 meter lebar di bahagian atas tangki itu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata mangsa kedua didapati pengsan di dalam tangki itu mengakibatkan mangsa pertama memasuki tangki semula untuk memberikan bantuan, namun turut pengsan.

Katanya, rakan mangsa kemudian meminta bantuan rakan-rakan lain untuk menyelamatkan kedua-dua mangsa di dalam tangki itu.

"Enam orang pekerja yang membantu mengeluarkan mangsa juga tidak berjaya dan mengadu sesak nafas.

"Dua mangsa dan enam rakannya dikejarkan ke HSNI Batu Pahat bagi mendapatkan rawatan sebelum mangsa kedua meninggal pada 10.45 pagi kelmarin dan mangsa pertama pada 4.45 petang hari sama," katanya.

Beliau berkata, siasatan di tempat kejadian mendapati bacaan gas hidrogen sulfat direkod pada 3.7 bahagian per juta (PPM), selain kehadiran sebatian organik.

"Pihak majikan juga didapati gagal mengamalkan tata amalan selamat bekerja di ruang terkurung," katanya.

Sehubungan itu katanya, JKKP Johor mengeluarkan notis larangan ke atas kegagalan pihak majikan mengadakan prosedur memasuki ruang terkurung.

"Satu notis pembaikan kerana tidak mengadakan penaksiran risiko (HIRARC) bagi kerja pembersihan tangki loji rawatan air.

"Satu notis pembaikan kerana tidak melakukan latihan mencukupi berkaitan kerja-kerja di ruang terkurung juga diberikan," katanya.

Katanya, tindakan perundangan akan diambil sekiranya didapati terdapat pelanggaran peraturan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerajaan (1994) ke atas pihak yang bertanggungjawab.

"JKKP memandang serius setiap kemalangan yang berlaku terutama membabitkan pekerja, orang awam mahupun harta benda.

"Kejadian kes seumpama ini boleh dielakkan jika majikan melaksanakan penaksiran dan kawalan risiko yang komprehensif termasuk mengikut kaedah yang dinyatakan dalam HIRARC," katanya.

Disiarkan pada: December 29, 2018 @ 9:02pm
d