mutakhir

Tak boleh pegang jawatan sehingga PRU15

Oleh Wartawan NSTP

BEKAS pemimpin UMNO yang menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) tidak boleh memegang sebarang jawatan sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengerusi BERSATU, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, mereka juga hanya boleh memegang jawatan jika ikhlas dan sudah membuang budaya UMNO.

“Ramai yang tidak senang melihat penerimaan bekas ahli UMNO oleh BERSATU. Mereka takut bekas-bekas ini akan membawa masuk budaya UMNO.

“BERSATU tidak mudah terima (bekas ahli UMNO). Ada syarat. Mesti keluar UMNO dan jadi Bebas. Sebagai Bebas, secara ikhlas sokong Pakatan Harapan (PH) dan BERSATU,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) BERSATU di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di Putrajaya, hari ini.

Dr Mahathir berkata, BERSATU akan memastikan bekas pemimpin terbabit tidak diberi peluang mengembangkan fahaman dan cara UMNO supaya parti itu terus kekal bersih.

“Yang akan bertukar ialah bekas parti lain. Mereka akan serap budaya kita. Mereka akan bekerjasama dengan kita.

“Ya, orang UMNO memang bersalah. Tak payah saya ceritakan lagi. Kita semua tahu. Tetapi apakah kerana UMNO bersalah, kita harus salahkan seluruh bangsa Melayu,” katanya.

Disiarkan pada: December 29, 2018 @ 10:49pm
d