mutakhir

Cepatkan inkues Adib

Oleh Suzalina Halid

KERAJAAN digesa untuk mempercepatkan proses siasatan (inkues) berhubung kematian Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, bagi mengelakkan berlakunya persepsi negatif yang melemahkan semangat penjawat awam khususnya anggota penyelamat dalam menjalankan tugas.

Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan (ANGKASA), Datuk Fattah Abdullah berkata, pembelaan sewajarnya harus dilaksanakan buat Muhammad Adib bagi mengembalikan keyakinan anggota penyelamat yang mungkin terkesan akibat insiden itu.

"Kita bersama 6.5 juta ahli ANGKASA mahukan pembelaan yang sewajarnya kerana tak mahu adanya persepsi negatif dalam kalangan penjawat awam terhadap insiden yang berlaku ini.

"Ini kerana insiden yang menimpa Allahyarham boleh melemahkan semangat dalam kalangan penjawat awam khususnya anggota penyelamat, " katanya pada sidang media selepas melawat keluarga Allahyarham di rumahnya di Kampung Tebengau, Kuala Kedah, hari ini.

Pada lawatan itu, ANGKASA memberikan sumbangan sebanyak RM10,000 buat keluarga Muhammad Adib berikutan Allahyarham adalah ahli Koperasi Pekerja Bomba dan Penyelamat.

Muhammad Adib yang parah dipukul ketika insiden rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya bulan lalu meninggal dunia pada di Institut Jantung Negara (IJN), 17 Disember lalu.

Pada masa sama, Fattah berkata, pihaknya juga mahu orang ramai meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada kerajaan khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menyelesaikan perkara terbabit.

Sementara itu, Fattah berkata, pihaknya bercadang untuk menyelaraskan pemberian sumbangan khairat kematian membabitkan semua 14,000 koperasi di seluruh negara bagi memudahkan pemberian bantuan.

  • Lagi berita berkaitan Allahyarham Muhammad Adib
  • Lagi berita berkaitan Inkues Adib

    Disiarkan pada: December 29, 2018 @ 11:50pm
    d