mutakhir

Tapak hotel jadi rumah

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin

KUALA LUMPUR: Selepas lebih tiga bulan tragedi tsunami melanda Palu, Sulawesi, Indonesia, satu penempatan baru dihuni lebih 2,000 mangsa tragedi didirikan hasil sumbangan rakyat Malaysia dan sektor korporat.

Tragedi mengorbankan 2,113 nyawa turut menyebabkan ribuan mangsa kehilangan kediaman akibat badai tsunami atau likufaksi atau tanah bergerak.

Ketua pasukan misi Mercy Malaysia, Norazam Abu Samah berkata, tekadnya untuk membantu mangsa tsunam didorong sumbangan diberikan rakyat Malaysia melalui Tabung Bantuan Bencana Palu Media Prima dan badan korporat lain melalui Mercy Malaysia.

Menurutnya, usaha dilakukan menampakkan hasil apabila Mercy Malaysia berjaya membina penempatan baharu di Jalan Diponegoro, Kota Palu.

“Lokasi seluas 1.6 hektar ini dibangunkan Mercy Malaysia menjadi penempatan sementara yang selesa untuk mangsa.

“Penempatan Hunian Antara Lere terletak dua kilometer dari tapak asal kampung mereka di antara Masjid Terapung Palu dan Jambatan Kuning Kota Palu yang musnah sebelum ini.

“Penempatan sementara ini disiapkan dalam tempoh sebulan selepas mendapat kebenaran menggunakan kawasan ini daripada sebuah syarikat swasta tempatan,” katanya ketika dihubungi wartawan.

Menurutnya, tapak tanah kosong yang sebelum ini dirancang bagi membina sebuah hotel diserahkan pemiliknya bagi kegunaan pengurusan bencana khusus membina penempatan sementara.

Norazam berkata, penempatan sementara dibangunkan itu mengandungi 205 unit rumah sementara, 33 tandas, 22 unit tempat mandi umum, sebuah sekolah rendah, sebuah tadika, sebuah surau dan enam wakaf untuk kegunaan penghuni.

“Ada juga pejabat pengurusan, ruang mesyuarat serta gudang bagi menempatkan barang bantuan yang diberikan sebelum diagihkan kepada semua keluarga yang tinggal di sini.

Menurutnya, Naib Presiden 2 Mercy Malaysia, YM Datin Raja Riza Shazmin, Ketua Pegawai Operasi Sime Darby Plantation Berhad, Mohamad Helmy Basha, Ketua Badan Penanggulangan Bencana Daerah Kota Palu, Bapak Presli Tampubolon selain wakil Ahli Majlis Tertinggi Yayasan Sime Darby turut melawat lokasi itu.

Semua tetamu diraikan dengan tarian sambutan tetamu oleh masyarakat Kaili dipanggil ‘Mukambu’.

“Acara pertandingan rumah paling bersih, indah dan kreatif turut diadakan bagi memberikan masyarakat peluang menunjukkan rasa memiliki rumah berkenaan serta bangkit semula daripada tragedi,” katanya.

Sementara itu, penghuni, Pak Suhandi, 39, meluahkan rasa terima kasih atas bantuan disalurkan rakyat Malaysia.

“Saya amat berterima kasih. Pada mulanya saya berasa ragu datang dari Donggala Kodi ke sini. Tapi selepas seminggu, saya berasa nyaman dan selesa tinggal di sini,” kata

“Saya berharap rumah baru yang dibina semula Pemerintah Kota Palu dapat disiapkan secepat mungkin,” tambahnya lagi.

Disiarkan pada: December 30, 2018 @ 7:48am
d