mutakhir

Lubuk udang galah

Oleh Hassan Omar

BAGI kaki pancing udang galah, khususnya di Melaka, Negeri Sembilan dan di sekitar Lembah Klang, nama Kuala Linggi sudah sinonim sebagai ‘lubuk’ udang galah yang menjanjikan pulangan lumayan.

Kuala berkenaan dan beberapa anak sungai di sekitarnya adalah habitat semula jadi udang galah tunggal di Melaka yang ekosistemnya bukan setakat dipelihara oleh nelayan, malah oleh Jabatan Perikanan.

Bagi kaki pancing dari Meru Klang, Selangor, Fadzli Ahmad, 48, dan Shukri Ahmad, 43, memandu sejauh kira-kira 280 kilometer berulang alik dari Meru ke Lubok Cina, di Kuala Linggi, bukan penghalang untuk mereka mencuba nasib.

Dengan menjadikan Pangkalan Nelayan Kampung Paya Lebar, Lubok Cina sebagai lokasi untuk memulakan aktiviti memancing, mereka sanggup membelanjakan wang menyewa perahu dan tekong yang terdiri daripada nelayan di kampung berkenaan.

Fadzli berkata, dia dan Shukri mencuba nasib di Sungai Ramuan Cina dan Sungai Rembau sejak awal tahun ini selepas mendengar mengenai ‘kerakusan’ udang galah di kawasan itu menyentap mata pancing daripada beberapa rakan.

“Alhamdulillah, lazimnya memancing udang galah di sini, kami tidak pulang dengan tangan kosong kerana udang galah di sekitar Kuala Linggi dan anak sungainya memang sentiasa ada,” katanya ketika ditemui di pangkalan itu, hari ini.

Nelayan, Hassan Sulaiman, 58, berkata, dia sering memancing udang bersama isteri, Rubiah Ibrahim, 56, dan anak mereka, Fadilah, 27, dengan berumpankan udang cermin dan cacing.

Udang galah dijual pada harga antara RM60 hingga RM70 sekilogram bergantung kepada saiz dan ada kalanya dia mampu membawa pulang tiga kilogram udang galah selepas menunggu selama kira-kira lima jam.

Nelayan turut menggunakan kaedah menjala untuk memastikan tong udang dipenuhi dengan hasil tangkapan sama ada untuk dijual atau kegunaan sendiri.

Selain itu, program pelepasan benih udang galah di Sungai Ramuan Cina sejak tiga tahun lalu berjaya mengekalkan sumber hidupan sungai itu daripada pupus.

Pada Disember 2016, sungai Ramuan Cina menerima 60,000 benih udang galah yang dibeli Jabatan Perikanan dan dilepaskan di dalam sungai berkenaan.

Benih udang galah itu mampu membesar dalam tempoh antara enam hingga 12 bulan sebelum mencapai umur sesuai untuk ditangkap.

Disiarkan pada: December 30, 2018 @ 1:57pm
d