mutakhir

Mayat berulat dalam semak

Oleh Siti Sofia Md Nasir

MAYAT lelaki tanpa identiti ditemui dalam keadaan berulat dalam semak berhampiran kilang di Juru, di Bukit Mertajam, hari ini.

Mayat itu ditemui orang awam pada 10.35 pagi, sebelum ia dimaklumkan kepada polis.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, siasatan bersama Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di tempat kejadian mendapati tiada kesan jenayah ditemui pada badan mayat.

“Identiti mangsa gagal dikenal pasti kerana kita tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri.

“Kami hanya menemui seutas rantai perak berhampiran mayat dipercayai milik si mati.

“Malah, pemeriksaan di sekitar tempat mayat dijumpai juga tidak menemui sebarang elemen perbuatan jenayah,” katanya.

Nik Ros Azhan berkata, mayat berkenaan ditemui dalam keadaan berpakaian lengkap dan memakai kasut hitam.

Katanya, mangsa juga dianggarkan sudah mati dalam tempoh antara empat hingga lima hari berdasarkan keadaannya yang sudah berulat.

“Mayat dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat dan polis mengklasifikasikan kes ini sebagai mati mengejut,” katanya.

Disiarkan pada: December 30, 2018 @ 3:41pm
d