mutakhir

Cinta zaman sekolah [METROTV]

Oleh Muhammad Apendy Issahak

SEORANG lagi pemain skuad Harimau Malaya mengakhiri zaman bujang dan kali ini penjaga gawang pasukan Perak, Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy, 25, yang melangsungkan perkahwinan dengan pilihan hatinya, Farah Nadia Mohamad, 24, hari ini.

Majlis perkahwinan pasangan itu turut dimeriahkan dengan kehadiran sebahagian besar pasukan The Bos Gaurus termasuk jurulatih Mehmet Durakovic dan pengurus pasukan, Datuk Adly Shah Ahmad Tah selain beberapa tonggak dan import.

Hafizul berkata, pasangannya itu adalah cinta hati sejak zaman persekolahan lagi dan sudah 10 tahun mengenali Nadia sebelum membuat keputusan mengikat pertunangan tahun lalu dan melangsungkan perkahwinan selepas setahun.

"Alhamdulillah majlis semalam (nikah) dan hari ini berjalan lancar. Perkenalan kami lebih 10 tahun, saya kenal dia sejak dari Tingkatan Empat lagi dari zaman saya tiada apa-apa, susah atau senang," katanya ketika ditemui di majlis perkahwinannya di Kelab Golf Diraja Perak, di Ipoh, hari ini.

Menurutnya, walaupun persediaan untuk majlis bersejarahnya itu dibuat pada saat akhir susulan pembabitan dalam Piala AFF 2018 berakhir 15 Disember lalu, dia bersyukur semuanya berjalan lancar.

Sementara itu, menceritakan bibit perkenalan dan percintaannya, Nadia berkata, sebenarnya mereka sudah mengenali satu sama lain sejak kanak-kanak lagi, namun lebih rapat ketika zaman sekolah menengah.

"Kami sebenarnya tinggal di taman perumahan sama dan satu tadika juga dahulu, namun hanya rapat di sekolah menengah ketika dia di Tingkatan Empat. Selalu jumpa, selisih tepi jalan, saling bertentang mata dan sejak itulah jatuh hati," katanya yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Aminuddin Baki, manakala Hafizul di SMK St Michael.

Menurutnya, dia akan sentiasa menyokong Hafizul dalam kerjayanya selain berharap suaminya itu terus berjaya dalam sukan bola sepak.

Disiarkan pada: December 30, 2018 @ 4:26pm
d