mutakhir

Bersedia hadapi banjir gelombang ketiga

Oleh Zaid Salim

PENDUDUK di kawasan berisiko banjir dinasihat berada dalam keadaan berjaga-jaga berikutan jangkaan berlaku banjir gelombang ketiga pada awal Januari ini.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam Abd Rahman berkata, banjir akan berlaku sekiranya hujan lebat melanda beberapa kawasan berisiko kerana berlaku pertembungan peningkatan paras air laut dengan air hujan.

"Berdasarkan laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), cuaca baik diramalkan berlaku di negeri ini sehingga penghujung Disember.

"Bagaimanapun, sebarang kemungkinan luar jangka boleh berlaku terutama di kawasan yang mengalami fenomena air pasang besar pada minggu pertama atau kedua Januari ini," katanya pada majlis penyerahan kit bantuan banjir Repsol kepada empat penerima di Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir pada majlis itu, Perunding Kanan Perhubungan Luar dan komunikasi, Repsol Malaysia, Norshilawati Othman.

Che Adam yang juga Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Terengganu berkata, pihaknya akan mengagihkan 50 kit bantuan banjir berkenaan kepada mangsa banjir yang layak.

"Peringkat awalnya, kita akan mengagihkan kit bantuan banjir ini hanya kepada mereka yang layak sahaja memandangkan kuantiti yang diterima sangat terhad," katanya.

Penerima, Zulkifli Ma'at, 52, berkata, dia berterima kasih kepada Repsol kerana prihatin dengan nasib mangsa banjir di negeri ini.

"Kit bantuan banjir yang mengandungi pelbagai barangan antaranya set solat seperti telekung, kain, khemah, ubat dan berus gigi, serta beberapa lagi barangan keperluan harian dianggarkan bernilai RM500 ini akan kami gunakan sebaik mungkin," katanya yang berasal dari Kampung Kelulut, Marang.

Bekas nelayan memiliki lapan anak berusia antara dua hingga 22 tahun itu bekata, dia bersyukur kerana banjir kali ini dia tidak mengalami banyak kerugian sebagaimana yang dialami pada 2016 dan 2017.

"Selepas dua kali kediaman kami ditenggelami banjir, saya membuat persiapan awal termasuk memindah ayam kampung yang menjadi sumber pendapatan saya ke kawasan selamat selain membina titian setinggi kira-kira satu meter dari rumah ke tebing," katanya yang diserang angin ahmar sejak empat tahun lalu.

Tiga lagi penerima adalah, Chik Mohamad dari Kampung Tengkawang, Hulu Terengganu, Hasnah Shafie, Kampung Tanjung Batu Rakit, Kuala Nerus dan Siti Zaharah Yusof dari Kampung Tok Lawit, Hulu Terengganu.

Disiarkan pada: December 30, 2018 @ 6:26pm
d