mutakhir

APMM selamatkan enam nelayan

Oleh Junita Mat Rasid

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Tanjung Sedili menyelamatkan enam nelayan tempatan selepas bot mereka mengalami kerosakan enjin pada kedudukan 4.8 batu nautika timur Tanjung Sedili Kecil, dekat Kota Tinggi.

Pengarah Maritim Malaysia Zon Maritim Tanjung Sedili, Kapten Maritim Mohd Zulfadli Nayan berkata, bot yang dinaiki enam nelayan tempatan itu mengalami kerosakan enjin kira-kira 1 tengah hari semalam.

Katanya, Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Tanjung Sedili menerima aduan pada 12.15 tengah hari daripada wakil Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Sedili menyatakan sebuah bot nelayan tempatan mengalami kebocoran dan hampir karam di lokasi yang tidak dapat dikenal pasti di perairan Sedili Kecil.

“Bertindak atas aduan itu, sebuah bot ronda APMM segera digerakkan.

“Pada awalnya bot APMM sukar untuk mengesan bot terbabit berikutan tiada maklumat mengenai kedudukan lokasi bot namun bot Kelas A KTF 5972 itu berjaya dikesan dengan bantuan bot nelayan yang berada berhampiran kawasan kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di Kota Tinggi, hari ini.

Zulfadli berkata, bot itu membawa enam awak-awak termasuk tekong berusia lingkungan 22 hingga 68 tahun dan mereka dilaporkan tidak mengalami kecederaan.

“Bot itu hanya mengalami kerosakan enjin dan bernasib baik kerana tidak mengalami kebocoran atau hampir karam seperti dilaporkan.

“Bot kemudian diiringi ke jeti Zon Maritim Tanjung Sedili untuk tindakan lanjut,” katanya.

Zulfadli berharap sebelum nelayan keluar ke laut, mereka memeriksa dan menentukan bot dalam keadaan baik dan jika berlaku kecemasan, segera menghubungi talian 999 atau hotline Maritim Malaysia untuk menyalurkan maklumat penting supaya gerakan mencari dan menyelamatkan dapat dilancarkan segera.

“Jika kami diberi maklumat lokasi kejadian dalam bentuk latitude dan longitude, keadaan ini akan memudahkan dan mempercepatkan lagi aset operasi mencari dan menyelamat (SAR) untuk sampai dan menyelamatkan mereka dengan cepat,” katanya.

Foto Ihsan Maritim Malaysia

Disiarkan pada: December 30, 2018 @ 6:43pm
d