mutakhir

Jel enam tahun, enam sebatan kerana pistol [METROTV]

Oleh Muhamaad Razis Ismail

SEORANG lelaki warga Thailand dipenjara enam tahun dan enam sebatan di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini terhadap tuduhan memiliki pistol, Februari lalu.

Hakim Ahmad Bazli Bahruddin menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh Surin Samah, 31, mengaku bersalah terhadap tuduhan.

Beliau turut menjatuhkan hukuman empat tahun terhadap tertuduh yang mengaku memiliki 14 peluru hidup tanpa lesen.

Mahkamah memerintahkan hukuman bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 3 Februari 2018.

Ibu tertuduh, Husna Abdul, 55, dan isteri tertuduh, Tuan Salmiza Nik Kecik, 33, dipenjara setahun selepas mengaku ada bersama tertuduh yang memiliki pistol.

Mengikut pertuduhan pertama, Surin didakwa memiliki pistol bertulis Uzi Eagle di rumah di Jalan Kampung Lancang, Ketereh, Kota Bharu pada 4.40 pagi 3 Februari 2018.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjatapi (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan minimum enam sebatan.

Bagi pertuduhan kedua, pada tarikh, waktu dan lokasi sama tertuduh didakwa memiliki 14 peluru 9 milimeter tanpa lesen.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara tidak lebih tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Husna dan Tuan Salmiza pula didakwa ada bersama Surin yang memiliki pistol pada tarikh, waktu dan lokasi sama.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 9 Akta Senjatapi 1971 yang membawa hukuman penjara 14 tahun dan minimum enam sebatan.

Terdahulu, peguam Mohd Hazrin Alif Wahab yang mewakili tertuduh memohon hukuman penjara minimum berjalan serentak bermula dari tarikh tertuduh ditangkap.

“Semua tertuduh datang dari negara jiran untuk tumpang di negara ini berikutan keadaan huru hara politik di sana. Saudara mara ada dibunuh di sana dan mereka mencari perlindungan serta rezeki di sini.

“Mereka meminta maaf kepada Kerajaan Malaysia atas kekhilafan mereka sepanjang berada di sini,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Noorazlinawati Mohd Arshad memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira kepentingan awam.

“Barang kes yang dirampas sangat bahaya yang boleh mengakibatkan kematian atau kecederaan,” katanya.

Disiarkan pada: December 30, 2018 @ 7:05pm
d