mutakhir

DBKL sita barang jualan penjaja haram

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

SANGGUP bersesak di ruang sempit termasuk laluan pejalan kaki hanya kerana mahu meletakkan meja jualan.

Itu tindakan penjaja haram yang beroperasi di Pasar Malam Lorong Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.

Dalam pemeriksaan dilakukan sepasukan anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di pasar malam berkenaan pada 4 petang semalam, mendapati ada beberapa penjaja haram menjual barangan jualan mereka di laluan orang ramai.

Pengarah Jabatan Penguatkuasa DBKL Azman Mahmood berkata, pasar malam itu kelihatan padat dengan meja diletakkan dengan barang jualan oleh penjaja haram yang memanipulasi laluan bagi orang ramai membeli-belah.

“Ketika pemeriksaan dilakukan, kami mendapati ada 12 penjaja haram beroperasi di pasar malam berkenaan.

“Kebanyakan mereka meletakkan meja di laluan orang ramai membeli-belah sekali gus menyebabkan laluan terbabit sempit.

“Malah, ada di antara mereka yang terdiri daripada warga asing meletakkan meja jualan berhampiran dengan kawasan penjaja yang mempunyai lesen bagi mengelak dikesan pihak berkuasa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Azman berkata, semua barang jualan penjaja haram terbabit seperti jam tangan, makanan, minuman, buah-buahan dan pakaian selain meja digunakan untuk meletakkan barang jualan dirampas dalam operasi itu.

Beliau berkata, selain itu pihaknya turut menyita barang jualan tiga premis yang meletakkan barangan mereka di laluan pejalan kaki di bahagian belakang kedai.

“Semua barang jualan disita dibawa ke stor sitaan sebaik selesai operasi pada 12 tengah malam tadi untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 46 (1) d Akta Jalan , Parit dan Bangunan 1974 dan UUK (Undang-Undang Kecil) 3 (1) Pelesenan Penjaja (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 2016,” katanya.

Disiarkan pada: December 30, 2018 @ 7:38pm
d