mutakhir

'Seksanya tak dak ayaq...'

Oleh Zuliaty Zulkiffli

LEBIH 50 keluarga di Kampung Teluk Talipon, Kuala Kedah, Alor Setar, mengalami masalah gangguan bekalan air sejak seminggu lalu menyebabkan kehidupan harian mereka terjejas.

Penduduk mendakwa bekalan air hanya diperoleh pada awal pagi sekitar 2 atau 3 pagi, manakala air langsung tidak disalurkan pada waktu siang menyebabkan mereka terpaksa ‘mengorbankan’ waktu tidur bagi menadah air.

Penduduk, Nor Mohd Yusli Yusof, 37, berkata keluarganya terpaksa menadah air pada waktu tengah malam hingga awal pagi, namun bergantung pada nasib kerana ada kalanya tekanan air sangat rendah.

Katanya, bayangkan nasib penduduk mempunyai keluarga besar dan memerlukan air banyak untuk mencuci pakaian, pinggan dan pelbagai kegunaan lain.

“Saya sudah dua kali membuat aduan kepada Syarikat Air Darul Aman (SADA), namun alasan mereka tekanan air di sini rendah selain pelbagai alasan diberi termasuk meter rosak.

“Bagaimana nasib kami penduduk di sini kerana sekolah akan dibuka Selasa ini, sudah tentu kami memerlukan banyak air untuk mandi, mengambil wuduk dan sebagainya,” katanya ketika ditemui hari ini.

Nor Mohd berkata, walaupun tekanan air sangat rendah, mereka masih membayar bil air pada kadar antara RM60 hingga RM70 sebulan.

Peniaga kedai makan, Nazura Azali, 35, berkata suaminya, Mohd Hairul Nazar Mohd Nor, 40, terpaksa membeli air daripada mesin air terawat untuk mendapatkan sumber air bersih bagi memudahkannya memasak makanan.

Katanya, keadaan itu sudah tentu merugikan kerana mereka perlu membeli air dan menadah menggunakan botol kosong yang dibawa bersama.

“Saya berharap masalah seperti ini dapat diselesaikan segera kerana kami terpaksa menunggu untuk mencuci pinggan dan baju pada waktu awal pagi dan sepatutnya ketika itu kami tidur,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam SADA, Ahmad Hakimi Abu Bakar ketika dihubungi berkata, bekalan air ke kampung itu dibekalkan melalui Loji Rawatan Air Bukit Pinang dan kawasan itu berada di hujung sistem bekalan menyebabkannya sering terganggu terutama pada waktu puncak akibat bekalan air tidak mencukupi.

Beliau berkata, bekalan air di kawasan itu hanya mengalami gangguan pada waktu tertentu dan tidak berlaku masalah terputus bekalan panjang.

“Pihak SADA sudah mengambil langkah membebaskan kunci angin (release air lock) di dalam sistem perpaipan bagi meningkatkan tekanan.

“Langkah jangka pendek dilakukan pihak SADA ialah melakukan proses agihan semula (dengan sumber yang terhad) bagi menstabilkan kembali tekanan, namun sekiranya masalah itu masih masih berlarutan, langkah menghantar lori tangki akan dilakukan.

“Bagi langkah jangka panjang pula, kita perlu menaik taraf Loji Rawatan Air (LRA) Pelubang kerana hanya dengan pelaksanaan projek itu dapat menyelesaikan masalah di kawasan Kubang Rotan dan beberapa kawasan lagi di Daerah Kota Setar dan Daerah Kubang Pasu,” katanya.

Disiarkan pada: December 30, 2018 @ 10:59pm
d