mutakhir

Guna kaedah pencarian di pesisir pantai

Oleh Rosli Ilham

KEADAAN air pasang disusuli ombak besar menyulitkan usaha pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mengesan tiga beradik yang dikhuatiri lemas di Pantai Sura Tengah, Dungun, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, berikutan itu pasukan SAR terpaksa melakukan kaedah pencarian di pesisir pantai.

Katanya, pihaknya menambah daripada 27 anggota kepada 58 orang yang terdiri daripada polis, bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Berikutan keadaan ombak besar, kami mengambil keputusan untuk melakukan pencarian di pesisir pantai.

“Kami akan melakukan pencarian membabitkan 10 kilometer kawasan pencarian di kiri dan kanan pantai,” katanya.

Baharudin berkata, usaha pencarian akan dilakukan secara bergilir-gilir sehingga mangsa ditemui.

Katanya, kedua ibu bapa kepada semua mangsa yang sudah dimaklumkan kini dalam perjalanan ke Dungun dari Peringat, Kota Bharu, Kelantan.

Dalam kejadian 6.40 petang semalam, tiga beradik iaitu Nur Ain Fatma Zawawi, 10, Nur Ain Sofea, 9, dan Nur Ain Sasabila, 6, dari Kampung Pegal Pisang, Peringat, Kota Bharu, Kelantan dikhuatiri lemas selepas ditarik ombak di tepi pantai berkenaan.

Tiga beradik terbabit dikatakan bermain di tepi pantai bersama dua sepupunya dengan ditemani seorang ibu saudaranya.

Secara tiba-tiba ombak besar dikatakan memukul mereka sebelum menarik mereka ke dalam laut.

Sehingga 12.15 tengah malam ini, ketiga-tiga beradik itu masih belum ditemui.

Berita berkaitan

'[UPDATE] Tiga beradik berpelukan selepas dipukul ombak'

'Tiga beradik hilang ditarik ombak'

Disiarkan pada: December 31, 2018 @ 12:48am
d