mutakhir

Letup kedai emas, cuba pecah masuk [METROTV]

Oleh Norasikin Daineh

SATU letupan berlaku di kedai emas di Segama, Kota Kinabalu, disyaki dilakukan sebagai cubaan pecah masuk premis itu, awal pagi hari ini.

Bagaimanapun, dalam kejadian 2.30 pagi tadi, tiada barang kemas dilaporkan hilang dipercayai penjenayah tidak sempat memasuki premis berkenaan selepas pintu dipecahkan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji, berkata polis menerima panggilan daripada orang awam pada 2.45 pagi mengatakan ada letupan kuat di premis berkenaan.

“Sebaik tiba, kita dapati tempat yang diletupkan adalah kedai emas yang terletak di tingkat bawah.

“Kita telah panggil Unit Pemusnah Bom untuk membuat pemeriksaan dan hasilnya mendapati kesan letupan adalah dari tepi pintu jeriji sehingga menyebabkan pintu itu dan bahagian dalam musnah akibat letupan kuat,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Habibi berkata, setakat ini belum dapat dipastikan jenis bahan letupan yang digunakan untuk meletupkan kedai emas itu.

“Kita tidak pasti berapa bahan letupan digunakan tetapi yang pasti hanya ada satu letupan sahaja.

“Hasil pemeriksaan tiada barang kemas dilaporkan hilang. Jadi kita syak cubaan pecah kedai emas namun motif lain kita sedang siasat,” katanya.

Tambah Habibi, pemilik kedai emas kini berada di luar negeri dan pihaknya akan mengambil keterangan anaknya.

“Hanya sebuah kedai emas sahaja yang terjejas, di hadapannya juga ada kedai emas pintu jerijinya rosak sedikit.

“Kes masih dalam siasatan mengikut Seksyen 6 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Akta Bahan Letupan 1957,” katanya.

Disiarkan pada: December 31, 2018 @ 8:29am
d