mutakhir

Putrajaya ada tarikan baru

Oleh Siti A'isyah Sukaimi

PERDANA Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad melancarkan arca 'PUTRAJAYA' di Dataran Putra, Presint 1, Putrajaya sekaligus menjadi mercu tanda baharu dan tarikan kepada pengunjung yang datang ke sini.

Struktur arca berkenaan dibina dengan lebar 1.5 meter (m) dan berketinggian 2.4 m manakala panjang keseluruhan huruf ialah 22 m serta menggunakan keluli tahan karat supaya tahan lasak.

Ia direka bentuk dengan imej abstrak berwarna-warni harmoni mengekspresikan kegembiraan dan antara keunikannya adalah paparan imej grafik yang boleh ditukar ganti.

Bahagian belakang huruf pula berimej kibaran jalur gemilang yang menggambarkan semangat cinta dan sayang kepada negara.

Dalam pada itu, Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) Datuk Dr Aminuddin Hassim berkata, reka bentuk arca itu diinspirasikan oleh kumpulan pegawai muda PPj bagi mewujudkan mercu tanda Putrajaya seperti arca tulisan di luar negara.

"Beliau mengucapkan tahniah terhadap projek ini dan lokasi Dataran Putra dipilih kerana signifikannya Putrajaya dibangunkan iaitu ia bermula di sini.

"Justeru, projek hari ini dianggap berjaya dan yang penting kita dapat menyiapkannya. Dua tiga kali beliau mengucapkan tahniah dan saya rasa Perdana Menteri gembira.

"Ini adalah satu daripada program yang kita laksanakan dan ada banyak lagi perlu kita jalankan," katanya ketika ditemui pemberita pada pelancaran arca 'PUTRAJAYA' di sini, hari ini.

Pada pelancaran itu, Dr Mahathir turut bergambar di hadapan arca berkenaan dengan berlatar belakang Bangunan Perdana Putra yang menempatkan Pejabat Perdana Menteri.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, paparan imej grafik pada arca itu akan ditukar mengikut musim dan sambutan tertentu termasuk bulan kemerdekaan dan hari perayaan.

Disiarkan pada: December 31, 2018 @ 9:20am
d