mutakhir

Ibu maut, anak cedera

Oleh Safuri Kamarudin

WANITA maut, manakala anak perempuannya cedera selepas kereta dinaiki mereka terbabas ke dalam gaung di Jalan Kampung Carok Beras-Kuala Ketil berdekatan Kampung Tembak B, di Baling, semalam.

Dalam kejadian 2.40 petang itu, mangsa, Zaharah Che Meh, 39, dari Kampung Charok Beras meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani.

Timbalan Ketua Polis Daerah Baling, Deputi Superitendan Mohd Yusuf Shaari berkata, kejadian berlaku apabila kereta Perodua Myvi dipandu anak mangsa, Nur Hanis Zamzuri, 18, dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke dalam gaung.

“Akibat daripada kemalangan itu, pemandu dan penumpang kenderaan mengalami kecederaan dan dihantar ke HSAH bagi mendapatkan rawatan segera.

“Bagaimanapun, seorang daripada mangsa berusia 39 tahun mengalami kecederaan serius dan meninggal dunia lewat petang semalam,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Yusuf berkata, mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik HSAH untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Disiarkan pada: December 31, 2018 @ 3:35pm
d