mutakhir

Petrol, diesel di KL cukup dan terkawal

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

SEBANYAK 233 stesen minyak di ibu kota diperiksa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kuala Lumpur bagi memastikan bekalan bahan api itu mencukupi.

Pengarah KPDNKK Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Ummi Nasrah Othman berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang aduan berhubung bahan api tidak mencukupi di sekitar ibu kota.

“Pemeriksaan secara berkala ini akan dilakukan secara agresif pada minggu ini bagi memastikan bekalan mencukupi.

“Setiap premis yang diperiksa akan diberikan notis arahan bagi memastikan bekalan bahan api mencukupi mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya selepas melakukan tinjauan di dua premis stesen minyak di Jalan Kuching, Kuala Lumpur, hari ini.

Ummi Nasrah berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menutup premis tanpa memaklumkan kepada pihak KPDNHEP.

“Sebarang tindakan tanpa mendapat kelulusan dan notifikasi daripada kementerian akan disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1962.

“Input yang diperolehi daripada syarikat minyak juga mendapati bekalan bahan api petrol dan diesel bagi kawasan Kuala Lumpur adalah mencukupi dan terkawal,” katanya.

Menurutnya, pengguna juga dinasihatkan supaya tidak membuat pembelian panik bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

“Bekalan di kawasan ini didapati terkawal dan cukup. Pihak KPDNHEP juga akan memantau stesen minyak di kawasan seliaan.

“Pihak kami menyediakan 106 anggota penguatkuasa bagi memantau bekalan bahan api di stesen minyak,” katanya.

Baru-baru ini, dalam satu kenyataan, Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Bumiputera Malaysia (BUMIPEDA), Datuk Abu Samah Bachik berkata, pengguna dikhuatiri berdepan masalah mendapatkan petrol dan diesel apabila semua tangki penyimpanan di stesen minyak dijangka kering menjelang 1 Januari.

Disiarkan pada: December 31, 2018 @ 4:02pm
d