mutakhir

Bapa masih di hospital, tunggu perbicaraan

Oleh Hasbi Sidek

WARGA Malaysia yang terbabit dalam kemalangan di Krabi, Thailand dan mengakibatkan lelaki tempatan maut, masih terkandas di negara berkenaan sementara menunggu perbicaraan di mahkamah selesai.

Difahamkan, Abd Wahab Yahaya, 56, akan dihadapkan ke mahkamah di negara berkenaan pada 9 Januari ini dan kini masih dirawat di Hospital Krabi kerana mengalami patah tulang rahang, pipi kanan dan hidung.

Anak kepada Abd Wahab, Amirun Aziz Abd Wahab, 21, berkata, pasport milik bapanya kini berada di tangan pihak berkuasa Thailand dan bapanya tidak dibenarkan pulang selagi proses perbicaraan di mahkamah tidak selesai selain perlu melunaskan tuntutan pampasan waris mangsa yang maut dalam kemalangan terbabit.

"Dalam kejadian itu, ibu dan bapa saya pengsan. Mama mengalami gegaran pada otak dan mengalami hilang ingatan sekejap. Bapa pula patah tulang rahang, pipi kanan dan hidung selain pendarahan pada mata.

"Berdasarkan laporan polis, bapa dipersalahkan dalam kejadian itu dan menurut undang-undang di negara itu, bapa perlu bertanggungjawab. Keluarga warga Thailand yang meninggal dunia menuntut pampasan RM550,000 sebelum jumlah itu dikurangkan kepada RM200,000 selepas perbincangan dengan peguam dijalankan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 10 malam 19 Disember lalu, Abd Wahab Yahaya, 56, dan isterinya Junaidah Muhammad Said, 45, dikatakan bertembung dengan pejalan kaki ketika menunggang motosikal di Jalan Aonang, dekat Krabi, Thailand.

Mengikut undang-undang di negara berkenaan, penunggang motosikal atau pemandu kenderaan akan dipersalahkan jika kemalangan membabitkan pejalan kaki.

Amirun Aziz berkata, bapanya kini masih dirawat dan baru selesai menjalani pembedahan di negara berkenaan serta tidak dibenarkan pulang selagi proses perbicaraan di mahkamah tidak selesai dan ia dijangka akan dibicarakan pada 9 Januari depan.

"Malah, pasport bapa juga berada di tangan pihak berkuasa Thailand. Dalam keadaan kesihatan bapa yang teruk, saya sekeluarga mahu bapa dibawa pulang secepat mungkin ke negara ini memandangkan ibu sudah dibenarkan pulang semalam.

"Bapa tidak dibenarkan pulang kerana dia yang menunggang motosikal dan perlu bertanggungjawab untuk perbicaraan serta menjelaskan tuntutan daripada keluarga mangsa.

"Saya sekeluarga kini sedang mempertimbangkan untuk menjual rumah bapa di Rawang untuk menampung tuntutan berkenaan. Saya meminta jasa baik rakyat Malaysia untuk mengurangkan beban ini dengan menghulurkan sedikit bantuan kewangan.

"Bantuan boleh disalurkan ke akaun Maybank saya 162713016800. Segala jasa baik semua saya dahulukan dengan ucapan terima kasih," katanya.

Berita berkaitan:

  • 'Tolong kami cari RM200,000...'
  • Disiarkan pada: December 31, 2018 @ 5:21pm
    d