mutakhir

Padah biadab di kaunter Balai Polis

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

LELAKI mabuk ditahan selepas membuat provokasi serta berkelakuan tidak senonoh dalam kejadian di kaunter pertanyaan Balai Polis Parit, Perak, semalam.

Dalam kejadian 12.10 tengah malam itu, lelaki itu turut mengeluarkan kata-kata kesat dan berbaur perkauman kepada anggota polis yang bertugas.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah Superintendan Mohammad Zainal Abdullah berkata, lelaki berkenaan datang ke Balai Polis Parit dalam keadaan mabuk dan ingin membuat laporan berhubung kehilangan wang RM5,000.

Menurutnya, lelaki berusia 35 tahun yang bekerja sebagai kontraktor ladang sawit itu datang ke balai berkenaan dengan menaiki trak pikap yang diletakkan di hadapan balai polis dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, dua anggota polis yang bertugas kemudian menghampiri kenderaan itu dan lelaki terbabit keluar dari kenderaannya dalam keadaan mulut berbau minuman keras dan menyatakan duit dalam simpanannya sebanyak RM5,000 sudah hilang.

"Polis kemudian meminta lelaki itu mengalihkan kenderaannya ke bahagian lain kerana mengganggu pandangan di hadapan balai, namun lelaki terbabit bercakap dengan nada tinggi dan kurang ajar.

"Lelaki itu mengeluarkan kata-kata yang tidak sepatutnya di balai polis seperti ‘you ingat you besar sangat, you tak tahu siapa saya’ sebanyak lebih tiga kali dan anggota polis cuba menenangkan lelaki itu.

"Namun, secara tiba-tiba lelaki itu mencurahkan air minuman yang dipegangnya kepada seorang anggota dan cuba membuat provakasi secara fizikal malah turut bertindak meludah di dalam balai polis," katanya di Parit, hari ini.

Katanya, susulan itu, polis menahan lelaki itu kerana berkelakuan tidak senonoh dan menghalang penjawat awam menjalankn tugas.

"Lelaki itu juga enggan memberi kerjasama yang baik semasa berada di dalam pejabat kaunter pertanyaan dan ketika tangkapan dibuat suspek juga bertindak agresif.

"Lelaki itu ditahan reman selama empat hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 90 Akta Polis 1967,

Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 510 Kanun Keseksaan," katanya.

Disiarkan pada: December 31, 2018 @ 9:25pm
d