mutakhir

MAHB pandang serius isu tikus

Oleh Siti A’isyah Sukaimi

MALAYSIA Airports Holdings Berhad (MAHB), pengendali lapangan terbang di negara ini sudah mengambil tindakan serius susulan video tular menerusi media sosial berhubung masalah tikus didakwa berada di ruang rehat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) di Sepang.

Menerusi satu kenyataan, MAHB menegaskan langkah pembasmian tambahan sudah diambil dengan meletakkan sejumlah perangkap tikus di kawasan berkenaan.

“Selain itu, MAHB turut menjalankan pemeriksaan tambahan untuk menutup laluan yang mungkin haiwan perosak itu boleh memasuki bangunan terminal,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, MAHB menjelaskan, pihaknya menjalankan aktiviti berkala pengawalan serangga termasuk kaedah pengasapan dua minggu sekali di seluruh bangunan terminal bagi membasmi serangga dan haiwan perosak seperti lipas, lalat dan tikus.

“Aktiviti pembasmian ini dilakukan di bawah seliaan Bahagian Kawalan Penyakit Berjangkit, Kementerian Kesihatan.

“Bagaimanapun, mana-mana kejadian yang tidak diingini amat dikesali dan kami akan mengambil tindakan segera apabila mendapat maklum balas daripada mana-mana pihak,” katanya.

Baru-baru ini, satu video tular menerusi aplikasi Twitter dan WhatsApp mengenai seekor tikus dikatakan berada di ruang rehat klia2.

Sebelum ini, Ketua Perhubungan AirAsia, Mohd Aziz Laikar pernah memuat naik video sebuah tong sampah yang dipenuhi ulat di lapangan terbang berkenaan.

Disiarkan pada: December 31, 2018 @ 10:33pm
d