mutakhir

Polis buru suspek samun bersenjata

Oleh Nurul Fhatihah Zakinan

POLIS memburu dua individu lelaki terbabit kes melepaskan tiga das tembakan dalam kejadian samun bersenjata di rumah di Kampung Tanjung Dahan, Kuala Sungai Baru, Alor Gajah.

Bagaimanapun, tiada kecederaan atau kematian dilaporkan dalam kejadian 7.25 malam, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan A Asmadi Abd Aziz berkata, kedua-dua suspek yang bertopeng memecah masuk rumah dihuni seorang warga emas sebelum melepaskan tembakan ke arah siling dan luar rumah bagi menakutkan mangsa.

“Suspek yang panik dengan jeritan mangsa kemudian bergegas melarikan diri menaiki kereta Perodua Myvi dengan nombor pendaftaran gagal dikenalpasti menuju ke Pasir Panjang Port Dickson, Negeri Sembilan,” katanya ketika dihubungi, malam tadi.

A Asmadi berkata, siasatan awal mendapati, suspek melarikan wang tunai berjumlah RM310, kad pengenalan Mykad, telefon bimbit dan kunci kereta Proton Saga.

“Hasil siasatan oleh Jabatan Forensik turut menemui tiga kelongsong peluru masing-masing satu ditemui di laman rumah manakala dua kelongsong di ruang tamu.

“Mangsa turut memaklumkan yang dia tidak mempunyai sebarang masalah atau berkaitan hutang dengan sesiapa,” katanya.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjatapi (Penalti Lebih berat) 1971.

Disiarkan pada: January 1, 2019 @ 8:41am
d