mutakhir

50 GRO kena cekup

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

SERAMAI 50 wanita warga asing yang juga pelayan pelanggan (GRO) warga Vietnam dan Thailand ditahan dalam Ops Mega Penutup 2018 dalam tiga operasi berasingan di sekitar ibu negara, awal pagi hari ini.

Selain itu, 10 lelaki warga asing dan lima warga tempatan termasuk seorang wanita yang juga pelanggan serta pekerja di premis berkenaan turut ditahan dalam operasi berkenaan.

Dalam operasi bermula 9.30 malam hingga 3 pagi tadi, sepasukan anggota penguat kuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur melakukan serbuan di tiga lokasi membabitkan pusat karaoke di Jalan Pudu serta dua spa masing-masing di Jalan Kuchai dan Jalan Raja Laut, di sini.

Pengarah JIM Kuala Lumpur, Hamidi Adam berkata, serbuan pertama dilakukan di spa di Jalan Kuchai yang membawa tangkapan 18 wanita serta lapan lelaki warga asing.

Katanya, dalam serbuan itu, empat lelaki warga tempatan yang dipercayai pelanggan serta penjaga kepada GRO itu turut ditahan.

“Pemeriksaan di spa berkenaan mendapati mereka mempunyai pintu laluan khas buat GRO berkenaan tinggal serta berehat sebelum dibida pelanggan bagi menjalankan aktiviti tidak bermoral.

“Selain itu, kami turut menahan enam wanita dan dua lelaki tempatan dalam serbuan di spa di Jalan Raja Laut,” katanya pada sidang media selepas mengetuai operasi itu di lokasi serbuan, di sini, awal pagi tadi.

Hamidi berkata, seramai 26 GRO serta seorang wanita tempatan dipercayai penjaga ditahan di pusat karaoke di Jalan Pudu.

“Semua GRO yang ditahan dalam ketiga-tiga serbuan itu berusia antara 20 hingga 40-an.

“Kebanyakan mereka tidak mempunyai dokumen, salah guna pas lawatan sosial serta pas perkahwinan dengan warga tempatan untuk menetap di negara ini bagi melakukan aktiviti tidak bermoral.

“Mereka kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana menyalah gunakan pas,” katanya.

Disiarkan pada: January 1, 2019 @ 9:35am
d