mutakhir

Tak datang kerja, rupanya dibunuh

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

MISTERI kehilangan pekerja wanita warga Indonesia yang tidak hadir ke tempat kerja terungkai selepas dia ditemui meninggal dunia di bilik asrama pekerja di Jalan Reko, Kajang, akibat dibunuh.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang Superintendan Mohd Sabri Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada lelaki tempatan yang juga majikan mangsa memaklumkan menemui mayat wanita terbabit di bilik berkenaan pada 6.24 petang, semalam.

“Kami menerima panggilan daripada lelaki terbabit yang memaklumkan bahawa mangsa berusia lingkungan 30-an tidak datang bekerja sejak tiga hari lalu sebelum dia membuat pemeriksaan di tempat tinggal wanita berkenaan dan menemuinya sudah meninggal dunia.

“Mayat mangsa yang juga jurujual di kedai perabot di Jalan Reko ditemui dalam keadaan separuh bogel dengan kedua-dua tangannya diikat menggunakan kain selain mulut turut disumbat dengan kain,” katanya dalam satu kenyataan, di Kajang, hari ini.

Mohd Sabri berkata, kali terakhir mangsa dilihat adalah kira-kira 9 malam, Khamis lalu.

“Siasatan awal mendapati mangsa tinggal bersendirian di bilik pekerja berkenaan yang terletak berhampiran dengan tempat kerjanya. Pemeriksaan lanjut di lokasi kejadian tidak menemui pasport milik mangsa.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang bagi proses bedah siasat yang akan dilakukan hari ini untuk mengenal pasti punca kematian,” katanya.

Beliau berkata, siasatan berhubung kes itu sedang giat dijalankan termasuk mengenal pasti suspek untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Ismail Ahmad di talian 019 2306107,” katanya.

Disiarkan pada: January 1, 2019 @ 9:59am
d