mutakhir

'Tolonglah encik...'

Oleh Muhammad Mustakim Ramli

GADIS hanya mampu menangis selepas ditahan polis atas pelbagai kesalahan trafik, di Jalan Badlishah, Sungai Petani, awal pagi hari ini.

Gadis berusia lingkungan 20-an yang ditahan kira-kira 1 pagi itu nyata terkejut dan tidak menyangka motosikal skuter yang dibawanya bersama seorang lagi rakan perempuan akan disita.

Kesalahan jelas yang dilakukan gadis berkenaan adalah motosikal tidak mempunyai nombor pendaftaran pada bahagian hadapan.

Selain nombor pendaftaran pada bahagian belakang tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan iaitu nombor berbentuk digital.

Malah gadis yang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di kawasan sekitar itu juga disaman kerana cukai jalan sudah tamat tempoh.

“Tolonglah encik... tolong lah,” hanya itu sahaja yang mampu diucapkan gadis berkenaan sebelum menekup mukanya di atas meter motosikal.

Gadis berkenaan hanya diketahui menangis selepas polis memanggilnya untuk memberikan kertas saman.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah, dalam Op Bersepadu Pencegahan Jenayah (Ambang Tahun Baru) 2019 itu sebanyak 993 kenderaan diperiksa.

“Dalam operasi bermula 9.30 malam hingga 5 pagi itu 212 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

“Selain 35 kenderaan turut disita merangkumi tujuh kereta dan 28 motosikal,” katanya.

Katanya, operasi berkenaan juga turut dijalankan secara bersepadu bersama Pejabat Agama Daerah Kuala Muda, Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSP) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Disiarkan pada: January 1, 2019 @ 10:58am
d