mutakhir

30 minit 'sangkut' lif

Oleh Iskandar Shah Mohamed

SEMBILAN pengunjung termasuk dua kanak-kanak lelaki menempuh detik cemas apabila terperangkap hampir 30 minit di dalam lif pusat beli-belah di Meru, Klang, malam tadi.

Dalam kejadian 8.55 malam itu, semua mangsa berusia sembilan hingga 50-an yang baru selesai membeli belah menaiki lif untuk ke tingkat bawah premis berkenaan.

Difahamkan, lif itu bagaimanapun tiba-tiba tidak berfungsi hingga menyebabkan seorang daripada mangsa menghubungi bomba untuk tindakan lanjut.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapar, Nurul Azman Muhammadan berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan itu pada 9.08 malam.

"Sepasukan 13 pegawai dan anggota bersama jentera dari BBP Kapar serta Sungai Pinang dikerah dalam operasi membantu dan menyelamat semua mangsa berkenaan.

"Pintu lif itu kemudian dibuka dengan menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa," katanya di Klang, hari ini.

Menurut beliau, pihaknya mengambil masa lima minit untuk mengeluarkan mangsa secara berperingkat.

Kata Nurul Azman, operasi berkenaan ditamatkan pihaknya dengan lancar pada 9.55 malam.

Disiarkan pada: January 1, 2019 @ 4:00pm
d