mutakhir

Dah kahwin ke belum?

Oleh Muhammad Mustakim Ramli

DUA pasangan berusia lingkungan 40-an ditahan di hotel sekitar Sungai Petani, awal pagi hari ini kerana gagal mengemukakan dokumen perkahwinan.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, siasatan pihaknya mendapati seorang daripada mereka iaitu lelaki mempunyai rekod jenayah lampau.

“Lelaki berkenaan adalah wanted (dikehedaki) kerana mempunyai rekod jenayah membabitkan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

“Status sama ada mereka bernikah atau tidak diserahkan kepada pejabat agama untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Sementara itu, di hotel sama empat warga asing menjadikan alasan baru berkenalan di WeChat untuk bermalam di hotel berkenaan, tengah malam tadi.

Dua lelaki warga China, seorang wanita warga Vietnam dan seorang wanita warga Thailand itu ditahan 12.30 tengah malam selepas gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah.

Adzli berkata, pihaknya juga menahan semua mereka selepas curiga dengan tindakan suspek yang enggan memberi kerjasama untuk membuka pintu untuk pemeriksaan.

“Kita yakin mereka cuba menyembunyikan sesuatu. Semua mereka mendaftar untuk dua bilik secara berpasangan.

“Apa yang menimbulkan keraguan adalah kerana mereka mendaftar menggunakan nama warga tempatan, selain tempoh perkenalan setiap pasangan ini adalah singkat.

“Mereka kenal melalui WeChat, kita syak berkemungkinan dua lelaki itu adalah pelanggan kepada dua wanita berkenaan,” katanya ketika ditemui semasa Op Bersepadu Pencegahan Jenayah (Ambang Tahun Baru) 2019, di Sungai Petani, awal pagi hari ini.

Adzli berkata, setakat ini tiga daripada suspek ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959.

“Kita juga akan jalankan siasatan lanjut bagi mengenalpasti sama ada dua wanita itu terbabit dalam aktiviti tidak bermoral atau tidak. Setakat ini semua mereka ditahan atas kesalahan imigresen,” katanya.

Katanya, operasi berkenaan juga turut dijalankan secara bersepadu bersama Pejabat Agama Daerah Kuala Muda, Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSP) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

“Operasi menyeluruh ini membabitkan operasi sekatan jalan raya, pemeriksaan hotel bermula 9.30 malam hingga 5 pagi tadi,” katanya.

Disiarkan pada: January 1, 2019 @ 4:40pm
d