mutakhir

Lelaki warga India buat onar...[METROTV]

Oleh Hasbi Sidek

LELAKI warga India membuat onar apabila enggan memberikan kerjasama untuk menandatangani notis sita motosikalnya selepas ditahan dalam sekatan jalan raya di Stesen LRT Bangsar, dekat Jalan Bangsar menghala ke pusat bandar raya Kuala Lumpur, malam tadi.

Dalam Operasi Bersepadu Ambang Tahun Baharu 2019 bermula 10 malam itu, lelaki berusia 27 tahun berkenaan didapati tidak mempunyai lesen memandu sah di negara ini selepas ditahan ketika menunggang motosikal Kriss Modenas 115.

Dia yang tidak mahir bertutur dalam Bahasa Melayu tidak mahu menandatangani notis sita kerana tidak membenarkan pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyita motosikalnya, meskipun pegawai bertugas berkali-kali menegaskan tidak akan bertolak ansur.

Drama berkenaan berlangsung hampir 20 minit dan lelaki berkenaan turut ditenangkan dan diterangkan beberapa pegawai JPJ lain berhubung kesalahannya dan undang-undang yang terpakai di negara ini.

Motosikal lelaki itu antara enam motosikal yang disita dalam operasi berkenaan termasuk kerana cukai jalan tamat tempoh sehingga mencecah 14 tahun.

Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Datuk Ismail Mohd Zawawi berkata, operasi turut disertai Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) serta Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR).

“Pihak JPJ memeriksa 1,026 kenderaan dan mengeluarkan 203 notis dengan kesalahan membabitkan lesen memandu serta cukai jalan mencatatkan notis paling banyak yang dikeluarkan.

“Kami menyita enam motosikal selepas didapati cukai jalan tamat tempoh melebihi tempoh setahun. Ada antara motosikal tamat tempoh sejak 2005, 2011 serta 2012 dan kami melihat pengguna jalan raya memandang ringan mengenai cukai jalan dan insurans kenderaan,” katanya ketika sidang media di lokasi sekatan jalan raya itu.

Ismail berkata, sebuah motosikal yang ditunggang lelaki warga asing turut disita kerana lelaki berkenaan hanya menunjukkan lesen memandu dari negara asalnya, sedangkan penunggang terbabit perlu mempunyai lesen memandu antarabangsa.

Beliau berkata, pihak AADK turut menahan seorang lelaki berusia 20 tahun selepas ujian air kencing terhadapnya mendapati lelaki itu positif dadah jenis ganja.

“Bagi JAS, mereka memeriksa 32 kenderaan dan mengambil tindakan terhadap dua kenderaan selain JSPT mengeluarkan 33 saman kepada pengguna jalan raya,” katanya.

Disiarkan pada: January 1, 2019 @ 8:09pm
d