mutakhir

Jumlah kutipan cecah RM60,000

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

JUMLAH kutipan bagi tabung untuk membantu rakyat Malaysia yang terkandas di Krabi, Thailand, selepas terbabit kemalangan, Abd Wahab Yahaya, 56, sudah mencecah RM60,000 sehingga tengah hari ini.

Anaknya, Amirun Aziz Abd Wahab, 21, berkata, mereka sekeluarga amat berterima kasih kepada semua pihak yang membantu menghulurkan sumbangan termasuk memberikan derma bagi membantu bapanya.

Katanya, ayah dan abang iparnya akan bertemu dengan Gabenor Krabi esok bagi membincangkan mengenai kemalangan berkenaan.

“Wakil daripada Konsulat Jenaral Malaysia di Thailand sudah bertemu dengan ayah, semalam, bagi mencari jalan penyelesaian terbaik untuk menangani masalah itu selain menyampaikan sumbangan dalam bentuk makanan.

“Sehingga kini, kami masih menunggu perkembangan terbaru berkaitan dengan kes itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sebelum ini, NSTP melaporkan Abd Wahab terkandas di Krabi, Thailand selepas motosikal ditunggangnya bersama isteri terbabit dalam kemalangan hingga menyebabkan seorang pejalan kaki warga Thailand maut ketika bercuti di pusat peranginan berkenaan.

Akibat kemalangan itu, beliau cedera di bahagian mulut dan perlu menjalani pembedahan untuk membuka jahitan dan skru di tulang pipinya, manakala isterinya mengalami gegaran kecil di kepala.

Malah, keluarga mangsa menuntut pampasan berjumlah RM200,000 sebagai ganti rugi atas kemalangan itu.

Abd Wahab perlu menghadapi proses perbicaraan di mahkamah dan berdepan kesukaran untuk meninggalkan negara jiran itu.

Berita berkaitan

'Bapa masih di hospital, tunggu perbicaraan'

''Tolong kami cari RM200,000...'

Disiarkan pada: January 1, 2019 @ 10:41pm
d