mutakhir

'Banyak papan amaran pun tak guna...'

Oleh Rosli Ilham

“DALAM edah musim tengkujuh ini, saya minta pengunjung seboleh-bolehnya jauhi pantai. Bukan kita nak halang, cuma kita tak mahu berlaku lagi kejadian lemas,” kata Ramli Tahir, 62, penduduk Kampung Sura Hujung, Dungun.

Menurutnya, sudah banyak kali dia turun ke pantai ‘menghambat’ kanak-kanak yang bermain di tepi pantai Pantai Sura Hujung, sejak kebelakangan ini.

Katanya, ramai dalam kalangan mereka datang dari luar kampung dan ini membuatkan dia sangat kecewa apabila ibu bapa tidak mengawasi pergerakan anak masing-masing.

“Ada rakan marah kerana menganggap perbuatan saya itu boleh menyebabkan perbalahan dengan ibu bapa kanak-kanak terbabit.

“Saya tak kisah kalau ibu bapa mereka nak marah kerana bagi saya teguran itu sangat berguna demi mengelak tragedi lemas,” katanya.

Katanya, masyarakat perlu lebih prihatin dengan setiap amaran dan laporan daripada pihak berkuasa termasuk media.

“Berpuluh-puluh kes lemas berlaku dari Pantai Teluk Lipat, Sura Jeti, Sura Tengah dan Sura Hujung namun tetap berlaku kerana sikap tidak cakna dengan keadaan laut bergelora dan merbahaya kepada pengunjung bermain di pantai.

“Letak seberapa banyak papan amaran bahaya pun kalau kita tidak ambik peduli, ia tidak berguna juga,” katanya.

Penduduk, Rasamira Mohd Rafi, 21, berkata, dia meminta pihak berkuasa meletakkan papan tanda amaran bahaya mandi di kawasan pantai yang tidak mudah rosak.

Katanya, dia sebelum ini pernah melihat ada papan tanda amaran diletakkan sepanjang pantai dari Kuala Dungun ke Sura Hujung.

“Sekarang ini saya lihat ada papan tanda yang rosak dan tercabut kerana besi digunakan tidak sesuai diletakkan di tepi pantai.

“Pihak berkuasa perlu cari kaedah lebih baik supaya papan tanda baru nanti lebih kukuh dan tidak mudah rosak, “katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat (BBP) Dungun, Saifuddin Mohamad berkata, pihaknya memasang kain rentang untuk memberi peringatan kepada pengunjung supaya tidak bermain di tepi pantai kerana merbahaya sejak Oktober lalu.

Katanya, pihaknya akan mengemukakan cadangan termasuk berbincang dengan pihak berkuasa tempatan untuk menambah lagi papan amaran di beberapa lokasi pantai yang merbahaya.

Disiarkan pada: January 2, 2019 @ 12:40am
d