mutakhir

Pelesit tahun baharu

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Sambut malam tahun baharu dengan lagak ganas. Itu tindakan sekumpulan remaja yang sengaja melakukan aksi lagak ngeri menunggang motosikal dalam keadaan laju dan berbahaya sekitar ibu kota.

Bagaimanapun dua daripada remaja terbabit yang melakukan aksi Superman sambil berlumba di Dataran Merdeka diberkas polis awal pagi semalam.

Mereka ditahan dalam operasi samseng jalanan diadakan anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur diketuai Asisten Superintendan Ahmad Fuad Mahmod bermula jam 1 pagi semalam.

Ketua JSPT Kuala Lumpur Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, tindakan dua remaja terbabit jelas membahayakan nyawa dan menyebabkan polis bertindak mengejar dan menahan mereka.

“Dua lelaki berusia 16 dan 21 tahun itu ditahan kerana menunggang motosikal secara berbahaya.

“Selain itu tiga lelaki turut ditahan kerana menggunakan nombor pendaftaran motosikal palsu,” katanya.

Zulkefly berkata, semua individu yang ditahan kemudian dibawa ke Balai Polis Tun HS Lee untuk proses dokumentasi dan pemeriksaan lanjut.

“Dua individu yang melakukan aksi berbahaya disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Manakala tiga individu yang ditahan kerana menggunakan nombor pendaftaran palsu disiasat mengikut Seksyen 108/29(1),” katanya.

Disiarkan pada: January 2, 2019 @ 10:57am
d