mutakhir

Kastam rampas mercun RM3 juta

Oleh Muhammad Apendy Issahak

JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas kira-kira 20 tan metrik mercun dan bunga api pelbagai jenis yang dianggarkan bernilai RM3 juta mengikut harga pasaran dalam serbuan di rumah mewah di Bandar Lahat Mines, Lahat di Ipoh, Khamis lalu.

Serbuan 9 malam itu dilakukan pasukan Penguatkuasaan JKDM Perak hasil maklumat awam dan risikan selama seminggu di kawasan perumahan berpagar dan berpengawal berkenaan.

Penolong Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan), Datuk Azimah Abd Hamid berkata, seorang lelaki berusia 37 tahun dipercayai pemilik barang larangan kastam itu turut ditahan dalam operasi terbabit.

“Rampasan mercun dan bunga api dalam serbuan pada 27 Disember 2018 itu adalah rampasan terbesar JKDM sepanjang tahun lalu.

“Nilai rampasan keseluruhan 640 kotak mengandungi barang terlarang itu dianggarkan RM263,480 dan duti import RM131,740 serta membabitkan anggaran cukai jualan sebanyak RM39,522 dengan jumlah keseluruhan cukai terbabit dianggarkan RM171,262.

“Nilai jualan mengikut harga pasaran pula dianggarkan RM3 juta,” katanya dalam sidang media di Pejabat JKDM Perak Bahagian Penguatkuasaan di Ipoh, hari ini.

Azimah berkata, ketika serbuan tiada penghuni atau penjaga di rumah semi D (berkembar) dua tingkat yang dijadikan stor menyimpan mercun dan bunga api berkenaan.

“Kesemua barang larangan kastam itu ditemui dalam kotak yang disusun di tingkat bawah rumah berkenaan.

“JKDM sedang menjalankan siasatan lanjut daripada mana bekalan mercun dan bunga api itu diperoleh serta mengesan suspek lain atau rangkaian kegiatan penjualan bahan berbahaya ini,” katanya.

Azimah berkata, pihaknya percaya mercun dan bunga api berkenaan adalah untuk pasaran seluruh negara bagi sambutan Tahun Baharu Cina tidak lama lagi.

“Lelaki yang ditahan itu kini direman lapan hari hingga esok dan disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 yang jika sabit kesalahan kali pertama didenda tidak kurang 10 kali ganda nilai barangan atau penjara maksimum tiga tahun, atau kedua-duanya.

“Suspek ditahan pada hari kejadian selepas dihubungi dan diminta hadir memberi keterangan,” katanya.

Disiarkan pada: January 2, 2019 @ 11:50am
d