mutakhir

'Seronok dapat jumpa Pak Nil'

Oleh Shahrinnahar Latib

KEHADIRAN pengacara popular Datuk Aznil Nawawi atau lebih dikenali dengan panggilan mesra, Pak Nil memberi kejutan kepada 666 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Badak di Kuantan pada hari pertama sesi persekolahan baharu, hari ini.

Mereka termasuk 128 murid Tahun Satu dilihat begitu teruja dan gembira kerana diraikan oleh pengacara popular tanah air itu selain dapat bersalaman serta merakam gambar bersama.

Pak Nil turut meluangkan masa lebih sejam bersama murid sekolah berkenaan dengan melakukan pelbagai aktiviti termasuk memberi ucapan semangat kepada murid Tahun Satu yang berdebar dan malu untuk datang ke sekolah.

Sementara itu, Pak Nil berkata, kunjungan itu adalah satu daripada inisiatif Kementerian Pendidikan dan Yayasan Pesona yang diasaskan selebriti itu sebagai memenuhi matlamatnya untuk berkongsi pengalaman dan pengetahuan berhubung pembinaan sahsiah diri bersama murid sekolah.

“Sehingga kini, tiga sekolah sudah saya pergi iaitu di SK Seberang Dungun dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pulau Serai, Dungun, Terengganu semalam, manakala hari ini di SK Permatang Badak.

“Bersesuaian dengan misi Yayasan Pesona, kunjungan saya ke sekolah ini adalah untuk mengajak anak-anak menikmati kegembiraan ke sekolah kerana di sini kita bukan hanya menimba ilmu, bahkan juga keyakinan diri.

“Saya nasihatkan mereka jangan takut untuk mencuba perkara yang baik kerana setiap kejayaan dan kegagalan bermula dengan mencuba,” kata ketika ditemui selepas program berkenaan, di sini, hari ini.

Kata pengacara itu lagi, dia teruja kerana berpeluang mendekati murid di sekolah berkenaan terutamanya yang kali pertama ke sekolah.

“Saya seronok apabila melihat wajah kegembiraan murid terbabit. Mudah-mudahan perkongsian yang dilakukan memberi manfaat kepada mereka.

“Hari pertama bersekolah memberi pelbagai pengalaman kepada murid Tahun Satu. Jadi kita cuba beri suntikan semangat kepada mereka bahawa sekolah adalah tempat yang menyeronokkan,” jelasnya.

Beliau berkata, tumpuan Yayasan Pesona ialah untuk membangunkan generasi muda dalam aspek berketrampilan, memiliki keyakinan diri, berani berkongsi pendapat dan akhirnya melahirkan seorang individu yang dihormati serta disegani.

Sementara itu, murid Tahun Satu, Arsyad Mohd Asmadi, 7, berkata, dia teruja dapat bertemu dengan pengacara popular itu kerana sebelum ini hanya boleh melihat di televisyen sahaja.

“Memang saya suka tengok Pak Nil dalam televisyen...sekarang ada depan mata. Mula-mula takut nak pergi sekolah, lepas tengok Pak Nil, takut dah hilang,” katanya.

Rakannya, Muhammad Aminuddin Abdullah, 7, pula berkata, kehadiran Pak Nil memberi dia semangat untuk datang ke sekolah.

“Seronok dapat tengok Pak Nil... dia suruh rajin ke sekolah, jangan malu dan kena semangat,” katanya.

Disiarkan pada: January 2, 2019 @ 12:39pm
d