mutakhir

Kedai mamak lengang

Oleh Mohd Fahmi Mohd Yusof

HARI kedua penguatkuasaan larangan merokok menyaksikan beberapa restoran mamak di Johor Bahru sedikit lengang berbanding sebelum ini terutama ketika waktu makan tengah hari.

Tinjauan NSTP di beberapa restoran mamak sekitar Bandar Baru Uda dan Tampoi di sini, menyaksikan hanya sedikit pelanggan menikmati juadah tengah hari.

Bagaimanapun, ada segelintir perokok yang kelihatan akur dengan larangan dikuatkuasakan bermula semalam apabila merokok berjauhan daripada premis makanan itu.

Pekerja restoran mamak yang hanya mahu dikenali sebagai Mohamad mengakui, bilangan pelanggan yang datang untuk makan tengah hari berkurangan hari ini berbanding semalam.

“Semalam agak ramai walaupun larangan bermula dan perokok juga ikut peraturan serta merokok berjauhan, hari ini bilangan agak sedikit.

“Harap kekurangan pelanggan hari ini tidak ada kaitan dengan larangan merokok dikuat kuasa kerajaan kerana jika perkara ini berterusan boleh menjejaskan perniagaan kami,” katanya.

Pelanggan yang juga perokok, Musalman Mohd Isa, 35, berkata, dia masih memilih untuk makan di restoran mamak disebabkan berdekatan dengan pejabat dan harga yang berpatutan.

“Saya tetap memilih makan di sini sebab tidak mahu bergerak jauh dari pejabat semata-mata untuk makan tengah hari, harga di sini juga masih berpatutan.

“Cuma amalan sebelum ini merokok selepas makan di meja makan tidak lagi saya buat, jika mahu merokok saya akan ke luar kedai ini, itu sahaja,” katanya.

Disiarkan pada: January 2, 2019 @ 1:41pm
d