mutakhir

Warung kopi pun kawasan larangan merokok

Oleh Mohd Zulkifli Zainuddin dan Fakhrul Abid Mohamed Saifuddin

WARUNG kopi di luar bandar turut diwartakan sebagai kawasan larangan merokok selari dengan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2018.

Pengarah Kesihatan Kelantan, Dr Zaini Hussin berkata, seramai 350 pegawai penguatkuasa akan melakukan pemeriksaan terhadap kira-kira 5,441 premis makanan termasuk warung kopi terbabit mengikut Peraturan 11, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT 2004).

Beliau berkata, walaupun penguatkuasaan sepenuhnya larangan merokok bermula 1 Julai ini, namun semua pegawai terbabit akan bergerak menyebarkan maklumat berhubung peraturan bermula semalam.

“Kita mahu kerjasama daripada semua pihak terutama masyarakat untuk membuat aduan jika mana-mana individu atau pemilik premis masih ingkar dengan peraturan ini sebaik dilaksanakan sepenuhnya Julai nanti.

“Buat masa ini, kita sedang melakukan penguatkuasaan pendidikan secara serentak di negeri ini selama enam bulan supaya semua masyarakat dapat memahami peraturan terbabit. Kita mahu mereka mula terbiasa dengan peraturan ini.

“Peraturan ini bukan saja akan membuatkan persekitaran premis makanan bebas daripada asap rokok, malah dapat mengelakkan generasi muda merokok pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan Program Penguatkuasaan Pendidikan di Tempat Makan Sebagai Kawasan Larangan Merokok di Kelantan, di Kopitam Kita, Kota Bharu, hari ini.

Zaini berkata, sejak 15 Mei 2017, pihaknya sudah mewartakan Lokaliti Inisiatif Kelantan Bebas Asap Rokok (IKBAR) membabtikan 10 pihak berkuasa tempatan (PBT) sebagai kawasan larangan merokok mengikut peraturan 22, PPKHT 2004.

Katanya, kejayaan itu adalah satu titik permulaan supaya Kelantan bebas daripada asap rokok dan disasarkan kurang daripada lima peratus yang merokok menjelang tahun 2045.

“Di bawah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kelantan, terdapat 56 Klinik Kesihatan yang menjalankan perkhidmatan Klinik Berhenti Merokok (KBM) secara percuma sehingga sebanyak 46 peratus kadar berhenti merokok pada tahun lalu berbanding 32 peratus tahun sebelumnya,” katanya.

Disiarkan pada: January 2, 2019 @ 1:45pm
d