mutakhir

Masih degil...

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim

WALAUPUN papan tanda ‘Di larang Merokok’ sudah dinaikkan, namun segelintir perokok masih berdegil dan tetap merokok di kedai makan.

Tinjauan NSTP di kedai di Jalan Masjid Langgar, Kota Bharu, mendapati terdapat perokok masih melakukan perbuatan itu walaupun larangan merokok di restoran atau kedai makan sudah dikuat kuasakan sejak semalam.

Malah, pemilik kedai yang melihat tindakan perokok berusia 50-an itu sempat menegur dua kali memaklumkan kepada individu terbabit bahawa dilarang merokok di kedai berkenaan.

Pemilik terbabit meminta lelaki berkenaan merokok di lokasi yang dibenarkan iaitu tiga meter dari kedai, namun tidak diendahkan.

Sebaliknya lelaki itu yang bersama rakannya terus merokok walaupun keadaan premis berkenaan dipenuhi pengunjung dan lebih memalukan papan tanda larangan merokok berada di hadapan individu berkenaan.

Akhbar sebelum ini melaporkan, semua premis makanan diwartakan sebagai tempat larangan merokok bermula 12 tengah malam semalam, selari dengan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2018.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pindaan pewartaan itu dilaksanakan mengikut Peraturan 11, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT 2004).

Katanya, ia bertujuan melindungi orang awam daripada terdedah kepada asap rokok.

Disiarkan pada: January 2, 2019 @ 2:17pm
d